RUANG makan menerima cahaya semula jadi melalui ‘skylight’.
RUANG makan menerima cahaya semula jadi melalui ‘skylight’.
Muhamaad Razis Ismail


KAKTUS cukup sinonim sebagai tumbuhan berduri yang berfungsi membantu mencegah kehilangan air di habitat bercuaca kering.

Pokok yang tahan lasak dan lebih mudah dijaga ini turut dijadikan sebagai pokok hiasan di dalam mahupun di luar rumah kerana memiliki bentuk unik.

Bagi Rohaida Ahmad, 38, dan suami, Khairul Anwar Halim, 39, minat terhadap pokok kaktus bermula kira-kira lima tahun lalu.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, minat terhadap pokok ini semakin mendalam ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 apabila dia bersama anaknya menjadikan aktiviti menanam kaktus sebagai hobi.

"Selain mencantikkan bahagian luar dan dalam rumah, saya juga dapat mendidik anak-anak supaya cintakan alam semula jadi. Pada masa sama ia memberikan 'mood' segar dan tenang seolah-olah berada dalam taman," katanya.

Katanya, mereka membeli rumah yang memiliki 'skylight' pada 2017 bagi membolehkan tanaman hiasan dalam rumah menerima cahaya semula jadi.

"Konsep dekorasi yang diketengahkan ialah 'taman dalam rumah' kerana minat yang mendalam kepada alam semula jadi.

ROHAIDA
ROHAIDA

"Memandangkan rumah ini tidak mempunyai tanah lapang, kami membina taman dalam rumah. Kami memanfaatkan 'skylight' di bahagian tangga rumah untuk mendapatkan cahaya semula jadi untuk pokok," katanya.

Menurutnya, rumahnya dipenuhi pelbagai jenis kaktus yang mempunyai bentuk unik dari dalam dan luar negara.

"Pokok kaktus tidak memerlukan modal terlalu besar kerana kebanyakannya ditanam dari keratan batang yang dibeli secara dalam talian sebelum disemai sendiri.

"Selain itu, kaktus menjadi pilihan kerana penjagaannya sangat minimum, memiliki bentuk sangat unik dan sesuai ditanam dalam rumah kerana cahaya yang masuk melalui 'skylight' di bahagian tangga sudah memadai untuk keperluan pokok itu dalam rumah.

SEBAHAGIAN pokok kaktus yang ditanam dalam kotak penanam.
SEBAHAGIAN pokok kaktus yang ditanam dalam kotak penanam.

"Saya turut meletakkan tanaman lain seperti lidah jin, 'fiddle fig' dan 'rubber plant' di sudut yang kurang cahaya," katanya.

Berkongsi lanjut, penjagaan pokok kaktus sangat mudah dan tidak memerlukan penyiraman yang kerap.

"Pokok jenis ini tahan lasak, tidak memerlukan air yang banyak dan boleh diletakkan di mana sahaja asalkan tempat itu memiliki sumber cahaya yang cukup serta pengudaraan yang baik.

"Pada masa sama, pokok kaktus di luar rumah hanya perlu disiram seminggu sekali dan masih dapat hidup segar walaupun tidak disiram selama sebulan. Manakala pokok (kaktus) dalam rumah, saya hanya siram apabila tanah betul-betul kering," katanya.

Jelasnya, dia memilih meletakkan pokok kaktus dalam pasu seramik yang berbentuk tinggi dan lonjong kerana ia lebih mudah menyerap air berbanding plastik.

MEMANFAATKAN cahaya semula jadi untuk pokok hiasan dalam rumah.
MEMANFAATKAN cahaya semula jadi untuk pokok hiasan dalam rumah.

"Selain itu, bentuk pasu yang tinggi dapat menjimatkan ruang serta mengelakkan kaktus yang berduri daripada terkena anak-anak.

"Saya juga membuat kotak penanam di hadapan dan belakang rumah supaya koleksi kaktus saya nampak lebih tersusun dan mudah dijaga.

"Untuk kaktus jenis kecil, saya susun atas rak bertingkat atau rak yang boleh digantung pada pagar dan dinding. Selain itu, kaktus 'indoor' pula saya letakkan di sudut tinggi," katanya.

Mengulas lanjut, kotak penanam boleh dihasilkan sendiri dengan modal serendah RM50 dan mengambil masa kurang dari sejam untuk disiapkan.

"Untuk kaktus jenis kecil, saya susun atas rak bertingkat ataupun rak yang boleh digantung pada pagar dan dinding," katanya.

Ditanya perancangan pada masa hadapan, dia ingin membuat taman mini kaktus di balkoni rumah rumah seluas 12 kaki x 22 kaki.

"Taman mini itu akan dibiarkan terdedah tanpa bumbung dan berdindingkan bata angin supaya ruang balkoni di hadapan bilik utama nampak lebih berseri serta kos yang mesra poket.

"Memandangkan kami hidup di perantauan, apabila kami pindah dari sini suatu hari nanti kami akan jadikan rumah ini sebagai rumah tetamu yang berkonsepkan rumah kaktus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 7:00 AM