Peningkatan tahap tekanan antara wanita dan lelaki adalah berbeza. Ramai pasangan yang dihanyutkan perasaan benci, keliru dan lunturnya kepercayaan yang membawa kepada pergaduhan ketika menghadapi persengketaan.

Untuk itu, buku Why Mars and Venus Collide edisi bahasa Melayu dapat membantu pembaca menyelesaikan permasalahan ini.

Buku ini juga membicarakan panduan komunikasi antara wanita dan lelaki. Ia turut mendedahkan permasalahan dalam perhubungan berdasarkan pengalaman penulis sendiri.

Antara isi kandungan yang menarik ialah apabila penulis membincangkan topik mengapa lelaki Marikh dan wanita Venus bersengketa?

Kata penulis, lelaki dan wanita dilahirkan berbeza dari segi hormon, tekanan, sifat, senarai tugas dan kebijaksanaan. Kepandaian kita memanfaatkan perbezaan itulah sebenarnya yang mendekatkan dua hati dan perbezaan inilah juga yang sering merenggangkan hubungan.

Antara petikan menarik oleh penulis, John Gray, 'seperti wanita, lelaki juga memerlukan kasih sayang tetapi dengan cara yang berbeza'.

Penulis buku ini membantu pembaca untuk memahami keunikan pasangan dengan cara yang lebih santai. Malah, penulis juga cuba mendedahkan perbezaan antara wanita dan lelaki bagi menghasilkan hubungan yang lebih mesra dan bahagia.

INFO

Tajuk: Why Mars and Venus Collide

Penulis: John Gray

Penerbit: PTS Professional Sdn Bhd

Harga: RM27 (Semenanjung), RM30 (Sabah/Sarawak)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 5:01 AM