MOHD Hafiz Mat Yusof, 40, (foto kecil) berharap anaknya ditemui selamat. FOTO Nor Amalina Alias
MOHD Hafiz Mat Yusof, 40, (foto kecil) berharap anaknya ditemui selamat. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Bachok: Dua pelajar tahfiz hilang dan dikhuatiri lemas manakala lima rakan mereka selamat selepas dihanyutkan ombak di pantai Kampung Nipah, di sini, hari ini.

Kesemua pelajar berkenaan berusia 15 tahun manakala kejadian dikatakan pada 3.30 petang.

Dua pelajar yang masih hilang adalah Ilham Mohd Hafiz dan Mohd Aiman Che Hashim.

Lima pelajar yang selamat pula terdiri daripada Ahmad Daniel Mohd Azizi, Mohd Nafiz Irfan Mohd Nazri, Omar Saizan, Talha Mohd Hatta dan Daniel Hakim Mohd Syukri.

Mohd Hafiz Mat Yusof, 40, iaitu ayah Ilham, berkata dia berserah kepada Allah SWT dan berharap anaknya ditemui selamat.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan anak minggu lalu ketika melawatnya di asrama dan sedar ada perubahan apabila dia menjadi pendiam.

"Saya terkejut apabila mendapat panggilan pentadbir sekolah memberitahu anak saya hilang di pantai. Saya terus ke pantai ini dari Kampung Raja, Besut," katanya ketika ditemui di lokasi.

Katanya, anak sulungnya akan menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.55 petang.

Beliau mengesahkan bahawa lima pelajar selamat manakala dua lagi masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 9:43 PM