Nor Amalina Alias


Bachok: Mayat seorang daripada dua pelajar tahfiz yang hilang di Pantai Kampung Nipah, di sini, semalam, ditemui lemas di Pantai Irama, 10.15 pagi tadi.

Mangsa ditemui ialah Muhammad Ilham Mohd Hafiz, 15, manakala usaha mencari rakannya, Mohd Aiman Che Hasyim,15, masih dijalankan.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, keluarga kedua-dua pihak sudah dipanggil sejurus penemuan itu.

"Kita masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mayat dihantar ke hospital terdekat untuk dibedah siasat.

Semalam, Muhammad Ilham dan Mohd Aiman dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak ketika mandi di Pantai Kampung Nipah bersama lima lagi rakan pada 3.30 petang.

Lima rakan mereka sempat diselamatkan penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 11:48 AM