PEMERINTAH Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) Jeneral John Campbell  (kiri) merasmikan bendera ‘Resolute Support’ di majlis di ibu pejabat ISAF di Kabul, semalam.
PEMERINTAH Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) Jeneral John Campbell (kiri) merasmikan bendera ‘Resolute Support’ di majlis di ibu pejabat ISAF di Kabul, semalam.

Kabul: Amerika Syarikat (AS) dan NATO secara rasmi mengakhiri pembabitan mereka dalam peperangan di Afghanistan dengan upacara khas di ibu pejabat tentera di Kabul selepas 13 tahun berada di negara itu.

Majlis simbolik itu menandakan tamatnya Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) diketuai AS yang akan memainkan peranan sokongan, Resolute Support, membabitkan 13,500 askar, kebanyakannya dari AS, bermula 1 Januari ini.

Presiden Ashraf Ghani yang mengangkat sumpah September lalu menandatangani perjanjian keselamatan dua hala dengan Washington dan NATO untuk membolehkan tentera mereka terus ditempatkan di Afghanistan - tindakan yang menyebabkan Taliban melancarkan lebih banyak serangan.

ISAF diketuai AS membabitkan 50 negara yang membekalkan askar selain menyelia keselamatan di negara itu.

Sehingga kini, 3,500 tentera asing dilaporkan terbunuh dengan 2,224 daripadanya askar AS.

Sepanjang misi itu, jumlah paling ramai direkodkan ialah 140,000 orang iaitu pada 2010 selepas Presiden AS Barack Obama mengarahkan serangan besar-besaran terhadap Taliban di lokasi penting,
terutama di wilayah Helmand dan Kandahar di selatan yang menjadi pusat pentadbiran kumpulan berkenaan dari 1996 hingga 2001.

ISAF akan mengubah peranannya menjadi Resolute Support, misi sokongan dan latihan yang turut menyediakan bantuan di medan tempur kepada tentera Afghanistan, sekurang-kurangnya untuk dua tahun akan datang.

Sementara itu, dua remaja terbunuh Sabtu lalu dalam serangan Taliban di wilayah Wardak apabila sebuah roket disasarkan ke kawasan berhampiran gelanggang bola tampar ketika satu pertandingan diadakan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 10,000 orang awam terbunuh di negara itu sepanjang tahun ini, kebanyakannya akibat keganasan Taliban.- AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:13 AM