Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki 155 unit penyalin cakera padat digital (DVD) cetak rompak dan 270 salinan pelbagai filem antarabangsa bernilai RM133,820. Foto Intan Nur Elliana Zakaria
Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki 155 unit penyalin cakera padat digital (DVD) cetak rompak dan 270 salinan pelbagai filem antarabangsa bernilai RM133,820. Foto Intan Nur Elliana Zakaria
Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Dua juruelektrik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki 155 unit penyalin cakera padat digital (DVD) cetak rompak dan 270 salinan pelbagai filem antarabangsa bernilai RM133,820.

Low Khian Seng, 40, dan Ngah Chai Hock, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Noor.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa memiliki 155 unit penyalin DVD-RW bertujuan membuat salinan langgaran filem di sebuah premis di Taman Kajang Baru, Hulu Langat, jam 7.45 petang, Selasa lalu.

Mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1)(g) Akta Hakcipta 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 41(1)(ii) Akta Hakcipta (pindaan) 2012 iaitu denda RM4,000 hingga RM40,000 atau maksimum 10 tahun penjara jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki 270 salinan langgaran filem dalam format DVD di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Sehubungan itu, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hakcipta 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 41(1)(ii) Akta Hakcipta (pindaan) 2012 iaitu denda RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap langgaran atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A Karthiyayini manakala Khian Seng dan Chai Hock diwakili peguam bela Mohd Faizi Che Abu.

Noor Ruzilawati menetapkan mereka diikat jamin RM100,000 setiap seorang dan kes disebut semula pada 17 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 3:05 PM