Mohd Hilmie Hussin


PEMBANTU kedai cakera video digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini, atas tuduhan memiliki 360 salinan cetak rompak drama bersiri antarabangsa, awal bulan ini.

Tertuduh, Soh Sam Yen, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki 360 salinan langganan karya filem yang terkandung dalam DVD bertajuk "Oh My Grad" episod 1 hingga 30 dan "Nothing Special Force" episod 1 hingga 10, pada 6.30 petang di premis menjual DVD di pusat beli-belah Dataran Pahlawan Megamall, pada 5 November 2017.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM2,000 bagi setiap salinan langgaran dan maksimum RM20,000 setiap salinan langgaran yang dilakukannya.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mohd Farizul Hassan Bakti mencadangkan jaminan RM50,000 dan meminta mahkamah mengambil kira jumlah salinan langgaran yang dilakukan tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam, Nik Norhaizun Che Mat bagaimanapun merayu dikenakan jaminan ringan dengan alasan tertuduh menanggung isteri yang tidak berkerja, anak kurang upaya (OKU) berusia 7 tahun serta ibu yang tinggal bersamanya.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norma menawarkan tertuduh jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 9:08 PM
Soh diiringi penguat kuasa KPDNKK di bawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
Soh diiringi penguat kuasa KPDNKK di bawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad