Lelaki   yang dihadapkan ke mahkamah, semalam
Lelaki yang dihadapkan ke mahkamah, semalam
myMetro

Shah Alam: “Selain menghidap penyakit kencing manis, hanya saya bekerja dan perlu menjaga keluarga terutama empat anak dan ibu yang sudah tua,” kata seorang lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam kerana memiliki puluhan alat penyalinan cakera padat digital (DVD) cetak rompak.

Tertuduh, Loh Chun Yee, 41, berkata demikian ketika merayu pengurangan ikat jamin berjumlah RM200,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan atas dua pertuduhan termasuk memiliki bahan cetak rompak pelbagai judul filem, Khamis lalu.

Terdahulu, tertuduh yang berbaju merah kelihatan sugul ketika kertas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Chun Yee didakwa memiliki 40 unit penyalin DVD bertujuan untuk membuat salinan langgaran filem di sebuah rumah di Taman Cheras Jaya, Hulu Langat kira-kira jam 12.45 tengah hari pada 22 September lalu.

Dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41 (1) (g) Akta Hak Cipta 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 41 (1) (ii) akta sama iaitu denda antara RM4,000 hingga RM40,000 bagi setiap unit atau maksimum 10 tahun penjara jika sabit kesalahan.

Chun Yee turut didakwa memiliki 41 salinan langgaran filem yang dituntut hak miliknya oleh sebuah syarikat dalam format DVD di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 9:13 AM