Afandi (kanan) bersama Faiz Subri. FOTO HM/OSMAN ADNAN
Afandi (kanan) bersama Faiz Subri. FOTO HM/OSMAN ADNAN
Firdaus Hashim


Sepang: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia memperkenalkan anugerah baharu jaringan gol tercantik Liga Malaysia (Liga-M) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan.

Usaha itu susulan kejayaan Mohd Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich, semalam.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, kejutan Faiz di bumi Switzerland itu menunjukkan bahawa kualiti jaringan terhasil dalam saingan Liga-M juga berada pada standard tinggi dan mengenepikan beberapa pemain hebat dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Katanya, gol ajaib sepakan percuma pemain Pulau Pinang itu dikatakan melanggar hukum fizik diiktiraf di peringkat dunia dan tidak mustahil gol menakjubkan seperti itu mampu dilakukan pemain tempatan lain pula selepas ini.

"Insha Allah, kita (FAM) boleh mencadangkan untuk mengadakan satu lagi anugerah baharu iaitu gol tercantik dalam majlis pengiktirafan pemain dan pasukan tempatan.

"Mungkin kita akan menambah kategori itu, mana tahu akan muncul lagi jaringan ajaib seperti Faiz.

"Pemenang anugerah jaringan tercantik kebangsaan itu akan memudahkan FAM menghantar pencalonan kepada FIFA dengan pemenang kebangsaan akan mewakili negara," katanya di KLIA, hari ini.

Anugerah diraih pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu membolehkannya melakar sejarah pemain Asia pertama memenangi anugerah tertinggi jaringan tercantik sekali gus menyamai pemain berstatus bintang seperti Ronaldo, Neymar dan Zlatan Ibrahimovic memenanginya dalam edisi terdahulu sejak diperkenalkan pada 2009.

Semuanya bermula apabila jaringan Faiz ketika menewaskan Pahang dalam aksi Liga Super 16 Februari tahun lalu menarik perhatian seluruh dunia sehingga berjaya menjadi finalis Anugerah Puskas Disember lalu.

Gol menakjubkan mencetuskan fenomena apabila menjadi viral apabila ramai peminat menganggap gol itu hampir menyamai gol lagenda Brazil Roberto Carlos ketika menentang Perancis pada aksi persahabatan antarabangsa 1997.

Afandi yang turut sama menemani Faiz ke Zurich turut berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan mengundi pemain Pulau Pinang itu.

"Saya harap akan ada ramai lagi pemain bola atau anak muda yang boleh melakukan seperti Faiz. Ini sebagai satu pemangkin semangat yang baik untuk seluruh rakyat Malaysia dan tidak mustahil untuk mencipta kejayaan sepertinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 9:31 PM