GAMBAR hiasan, pemandangan di Masjidilharam baru-baru ini. - Brunei Islam
GAMBAR hiasan, pemandangan di Masjidilharam baru-baru ini. - Brunei Islam
Agensi

Teheran: Iran semalam berkata, ia akan bersedia untuk menyertai perbincangan dua hala dengan pihak berkuasa Arab Saudi mengenai haji 2017.

Kenyataan itu dibuat selepas pihak berkuasa negara itu menerima jemputan rasmi daripada Arab Saudi untuk rakyatnya menunaikan haji tahun ini, dua minggu selepas Riyadh mengumumkan mengenainya.

Tiada jemaah haji Iran menunaikan ibadah itu pada musim haji tahun lalu selepas Arab Saudi memutuskan hubungan dengan negara itu berikutan pembakaran misi diplomatiknya di Teheran dan Mashhad oleh penunjuk perasaan Januari tahun lalu.

Ia kali pertama dalam tempoh 30 tahun jemaah Iran tidak menunaikan haji selepas hubungan antara kedua-dua negara semakin buruk berkait dengan konflik di Syria dan Yaman.

“Kandungan surat itu tidak banyak berbeza dengan jemputan tahun-tahun sebelum ini,” kata wakil haji Iran, Ali Ghazi Askar.

Menurutnya, Iran akan menjawab surat itu dalam masa beberapa hari.

“Semua hal berkait dengan haji, termasuk penginapan, makanan, hal ehwal perubatan, pengangkutan, keselamatan jemaah, isu perbankan dan konsulat perlu dikaji,” kata Ali.

Akhbar Saudi, al-Hayat melaporkan 30 Disember lalu, Menteri Haji negara itu, Mohammed Bentin akan berbincang dengan wakil dari 80 negara, termasuk Iran, mengenai pengurusan haji tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 8:00 AM