BAKRI (dua dari kanan) melihat benang serat nanas jenis MD2 dikeluarkan daripada daunnya oleh kakitangan LPNM Negeri Sembilan Mohd Farhan Mohd Daud (kiri) pada program di Pusat Pertanian Kendong. FOTO/ Bernama
BAKRI (dua dari kanan) melihat benang serat nanas jenis MD2 dikeluarkan daripada daunnya oleh kakitangan LPNM Negeri Sembilan Mohd Farhan Mohd Daud (kiri) pada program di Pusat Pertanian Kendong. FOTO/ Bernama
BERNAMA

PENGHASILAN produk benang serat nanas boleh dijadikan sumber pendapatan baru bagi usahawan tanaman nanas di Negeri Sembilan.

Ini kerana ia mampu memberikan pulangan bernilai tinggi, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir.

Bakri berkata, benang serat daun nanas adalah produk bukan makanan berasaskan nanas, antaranya untuk menghasilkan tekstil berkualiti tinggi sekali gus memberi pulangan lumayan kepada pengusaha di negeri ini.

“Benang serat nanas ini mempunyai kegunaan dalam penghasilan tekstil berkualiti tinggi termasuk digunakan untuk membuat baju dan penghasilan motif songket menggantikan benang emas.

“Serat yang terhasil dipintal untuk menghasilkan benang dan ditenun bagi menghasilkan kain yang mana penggunaan 10 kilogram daun nanas boleh menghasilkan 100 gram benang.

“Bagi keluasan satu ekar (0.4 hektar) tanaman nanas pula ia boleh menghasilkan 30 tan gentian bagi satu kilogram benang yang siap dijual dengan harga RM1,000 bagi kualiti tinggi.

“Ini membolehkan usahawan nanas di negeri ini menambah pendapatan kerana ia sememangnya memberi hasil pulangan bernilai tinggi, ” katanya selepas Program Hari Bertemu Pelanggan Jabatan & Agensi MOA Negeri Sembilan, hari ini.

BUKU catatan dihasilkan daripada serat nanas jenis MD2. FOTO/ Bernama
BUKU catatan dihasilkan daripada serat nanas jenis MD2. FOTO/ Bernama

Turut hadir, Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Sembilan & Melaka Siti Hajar Ramlee.

Bakri berkata, pengenalan cara penghasilan benang serat nanas kepada usahawan nanas itu sekali gus dapat menggalakkan pembabitan usahawan dalam penghasilan produk berkenaan.

“Bagi mereka yang berminat untuk terbabit dalam bidang ini, kerajaan negeri dan pihak LPNM negeri akan memberi sokongan seperti pemberian mesin dan membantu dari segi pasaran kepada pihak industri tekstil,” katanya.

Katanya, negeri ini mempunyai potensi sebagai hab pengeluaran nanas kerana kedudukan strategik berhampiran Lembah Klang yang mempunyai permintaan tinggi terhadap pengeluaran buah nanas segar.

“Keluasan tanaman nanas di negeri pada 2018 adalah seluas 118.16 hektar dengan jumlah pengeluaran 5,951.13 tan metrik dengan nilai pengeluaran sebanyak RM9.2 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 6:28 PM