Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Langkah diambil Bank Negara Malaysia (BNM) diyakini mampu menstabilkan nilai mata wang ringgit pada tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, penyusutan nilai ringgit yang dialami kini berlaku di luar kawalan kerajaan namun Malaysia juga bukan satu-satunya negara yang berdepan masalah itu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak 123 daripada 149 negara di dunia berdepan penyusutan nilai mata wang masing-masing.

“Ia berpunca daripada tiga faktor utama iaitu kesan spekulasi ringgit di pasaran luar pesisir, kejatuhan harga minyak dunia serta langkah menangani hutang Amerika Syarikat (AS) yang menaikkan kadar faedah pada Disember lalu.

“Saya yakin dengan langkah diambil BNM, ringgit akan lebih stabil dan mereka percaya keadaan tidak menentu itu dapat dibendung ke tahap normal dalam tempoh terdekat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang pertama bagi 2017 di sini, semalam.

Menurutnya, terdapat petanda dan bibit-bibit harapan keadaan ekonomi akan pulih secara lebih positif tahun ini selepas berdepan keadaan ekonomi dunia yang mencabar pada tahun lalu.

Najib berkata, beliau mengakui tahun 2016 adalah tahun yang amat mencabar dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu namun berharap tahun 2017 ada sinar harapan dan berkeyakinan keadaan akan pulih secara lebih positif.

Katanya, harga minyak sekarang berada pada paras AS$54 (RM241) setong berbanding pada paras AS$44 (RM197) setong sebelum ini.

“Selain itu, harga minyak sawit juga berada di paras yang memberangsangkan iaitu pada RM3,200 berbanding RM2,600 bagi pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) setan pada 2016.

“Keadaan sama berlaku pada harga getah yang merekodkan kenaikan tiga kali ganda sehingga ada pekebun kecil meraih hasil RM100 sehari.

“Semua petanda ini memberi keyakinan sekiranya kita dapat melakukan usaha-usaha yang gigih, kita dapat menjadikan tahun 2017 sebagai tahun yang berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 7:45 AM