Pamnaswaran.
Pamnaswaran.
Keadaan mangsa yang tertembak paha sendiri. FOTO ihsan pembaca
Keadaan mangsa yang tertembak paha sendiri. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Apendy Issahak


Sungai Siput: Seorang anggota polis parah selepas dipercayai tertembak peha sendiri dalam kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, di sini semalam.

Dalam kejadian 10.20 malam itu, Koperal Murli Farzizi Zakaria, 34, yang bertugas di Unit Kereta Peronda (MPV) di IPD berkenaan cedera di peha kiri ketika berada di Pejabat MPV IPD Sungai Siput.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Pemangku Deputi Superintendan A Pamnaswaran berkata, mangsa yang cedera itu kemudian dihantar ke Hospital Sungai Siput dengan ambulans untuk menerima rawatan kecemasan.

"Mangsa tidak tidak sedarkan diri selepas kejadian dan pemeriksaan mendapati mangsa cedera pada peha dan betis kiri serta patah jari telunjuk kiri.

"Anggota polis itu mengalami pendarahan teruk dan terpaksa dipindahkan ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 1.50 pagi serta dimasukan ke Zon Merah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya , mangsa adalah seorang duda serta mempunyai dua anak dan ahli keluarganya sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan kini berada di HRPB.

"Hasil siasatan awal mendapati senjata adalah didaftar di IPD Sungai Siput atas nama mangsa sendiri dan mangsa tertembak jari dan peha kaki kiri sendiri.

"Punca mangsa terlepaskan tembakan masih belum dapat dipastikan dan mangsa kini sudah dibedah serta keadaan stabil," katanya.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 12:07 AM