ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran yang memusnahkan tiga motosikal, semalam.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran yang memusnahkan tiga motosikal, semalam.
Muhammad Apendy Issahak


Sungai Siput: Tiga motosikal musnah terbakar dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Teming, di sini, awal pagi semalam.

Kebakaran jam 1.30 pagi itu berlaku di hadapan rumah berkenaan dan mengakibatkan semua motosikal terbabit musnah keseluruhan selain bahagian tingkap rumah berkenaan turut terbakar.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Pegawai Bomba Kanan ll, Nor Azam Abd Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran itu jam 1.39 pagi dan sebaik tiba dilokasi mendapati motosikal di depan rumah itu terbakar.

“Tiga motosikal terbakar hampir 90 peratus ketika itu dan api yang kuat daripada kebakaran itu turut menyambar tingkap rumah berkenaan.

“Terdapat penghuni di rumah itu, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, seramai sembilan anggota bomba bersama dua jentera termasuk Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) menjalankan operasi pemadaman dengan satu saluran paip menggunakan air dari pili bomba berhampiran hingga kebakaran padam sepenuhnya.

“Punca sebenar kebakaran ketiga-tiga motosikal itu masih dalam siasatan unit forensik bomba bagi mengenalpasti sama ada perbuatan khianat atau sebagainya.

“Operasi memadam kebakaran itu tamat pada jam 2.29 pagi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput Deputi Superintendan A Pamnaswaran ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian kebakaran motosikal terbabit dan menurutnya, polis masih menyiasat kes berkenaan bagi memastikan sama ada berlaku kes jenayah atau khianat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 9:59 AM