MOHAMAD Mohyddin menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada pelajar. FOTO Rokaid Chik
MOHAMAD Mohyddin menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada pelajar. FOTO Rokaid Chik
Rokaid Chik


Pasir Puteh: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan tidak menerima sebarang laporan gangguan bekalan dan kes berkaitan elektrik sepanjang tempoh banjir di negeri ini.

Pengurus Bahagian Penghantaran Tenaga, TNB Kelantan, Mohamad Mohyddin Mohamed Nor berkata, keadaan itu juga jauh lebih baik berbanding banjir pada 2014.

"TNB bersyukur kerana sepanjang musim banjir kali ini, bekalan elektrik untuk negeri ini tidak menimbulkan masalah kepada pengguna.

"Apa yang penting lagi tiada sebarang kejadian dan kes kritikal membabitkan eletrik di seluruh negeri. Kita sangat berpuas hati dengan langkah segera diambil," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada 80 pelajar miskin dan anak yatim Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Tarbiah Islamiah Lepah, Selising, di sini, hari ini.

Sumbangan berbentuk buku tulis dan beg sekolah itu adalah sebahagian inisiatif TNB mendekati pelangan dan masyarakat setempat.

Mohamad Mohyddin berkata, pelbagai langkah proaktif diambil pihaknya pada musim banjir dengan memberi nasihat dan panduan selain mengedar risalah berhubung tip menggendalikan perkakasan elektrik.

"Ini sesuatu yang sangat mustahak untuk orang ramai tahu bagi menggelak sebarang bencana atau kerosakan sama ada peralatan eletrik mahupun nyawa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 1:50 PM