Dr Mah Hang Soon (kanan) bersama Dr Norhayati Nordin (kiri) melawat kawasan Wad 11 HBUK yang terbakar. FOTO Muhaizan Yahya
Dr Mah Hang Soon (kanan) bersama Dr Norhayati Nordin (kiri) melawat kawasan Wad 11 HBUK yang terbakar. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Semua pesakit dan petugas yang terbabit dalam kejadian kebakaran Wad 11 Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan semalam akan diberi kaunseling.

Pengarah HBUK, Dr Norhayati Nordin berkata, walaupun kebakaran itu tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa, pihaknya bimbang semua yang terbabit alami trauma terutama kesemua 21 pesakit di wad berkenaan.

Menurutnya, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan petugas terbabit dalam kejadian kebakaran itu pagi tadi, manakala perjumpaan dengan pesakit pula akan diadakan dalam masa terdekat.

"Pasukan 'psychology social first aid' akan berjumpa dengan pesakit yang terbabit dalam kejadian itu dan ia bukan hanya membabitkan 21 pesakit di wad berkenaan tetapi juga pesakit lain di semua enam wad berhampiran yang mungkin melihat kejadian itu.

"Saya mengucapkan syabas kepada petugas HBUK terutama pasukan kecemasan yang berjaya bertindak pantas menyelamatkan pesakit serta mengawal kebakaran dari merebak dan menjadi lebih buruk," katanya ketika ditemui selepas lawatan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Perak Datuk Dr Mah Hang Soon ke lokasi kebakaran hari ini.

Dr Norhayati berkata, pihaknya juga akan memantapkan lagi pasukan kecemasan dan berharap dapat menambah keahlian yang ketika ini hanya disertai 23 petugas saja.

"Kita ingin mantapkan lagi pasukan berkenaan dengan menambah ahli yang jika boleh sekurang-kurangnya seorang pasukan kecemasan di setiap wad yang keseluruhannya mempunyai 78 wad dan 1,800 katil pesakit," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari semalam, sebuah stor menyimpan barangan yang dalam proses pelupusan di Wad 11 HBUK terbakar sebelum api merebak ke bahagian bumbung wad berkenaan.

Kejadian bagaimanapun hanya mengakibatkan 15 peratus bahagian stor dan bumbung wad terbabit dan tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 4:13 PM