KEADAAN bumbung Wad 11 Hospital Bahagia Ulu Kinta yang terbakar. FOTO Muhaizan Yahya
KEADAAN bumbung Wad 11 Hospital Bahagia Ulu Kinta yang terbakar. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Sebuah stor di Wad 11, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, di sini terbakar kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Kebakaran membabitkan stor berhampiran wad berkenaan sebelum merebak ke bumbung wad namun tidak membabitkan pesakit di Wad 11.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Datuk Yahya Mahdis berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 1.09 tengah hari dan sampai ke lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

Menurutnya, kebakaran membabitkan 15 peratus bangunan stor dan wad yang sudah berusia lebih 50 tahun itu.

"Sebaik tiba api sudah berjaya dikawal oleh pasukan kecemasan Hospital Bahagia Ulu Kinta dan bomba bertindak memadamkan keseluruhan kebakaran.

"Kesemua 21 pesakit di Wad 11 sudah dipindahkan oleh petugas hospital ke lokasi selamat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar kebakaran dan bangunan wad yang terbabit kini ditutup bagi tujuan siasatan.

Yahya berkata, operasi memadam diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh P Samasuvam tamat jam 2 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 3:38 PM