AFP

Manila: Pasukan keselamatan Filipina semalam menembak mati ketua satu kumpulan militan yang dipercayai melancarkan beberapa serangan bom untuk mendapat sokongan militan Daish, kata pegawai.

Pengasas dan ketua Ansarul Khilafa Filipina, Mohammad Jaafar Maguid berjaya dijejak dan ditembak mati di sebuah resort tepi pantai di Mindanao selepas tengah malam semalam.

Ansarul Khilafa adalah antara kumpulan militan dan pemberontak yang aktif di Mindanao.

Pemberontakan di Mindanao yang sudah masuk satu dekad meragut lebih 120,000 nyawa.

Mohammad Jaafar yang dikenali sebagai Komander Tokboy dipercayai ada kaitan dengan serangan bom di Davao pada tahun lalu yang menyebabkan 15 orang terbunuh.

“Dia dikehendaki berkait dengan beberapa serangan bom. Kumpulan ini menggunakan letupan untuk membunuh orang awam ketika festival di bandar,” kata jurucakap polis, Cedric Train.

Menurutnya, kumpulan itu turut mengibarkan bendera militan Daish di pangkalan mereka.

“Mereka melancarkan serangan bom kerana mahu mendapat pujian pemimpin Daish,” kata Train.

Tentera membunuh lapan anggota Ansarul Khilafa dalam satu pertempuran di bandar kelahiran Mohammad Jaafar di Palimbang pada November 2015.

Sementara itu, Setiausaha Dalam Negeri, Ismael Sueno memberi amaran, kemungkinan anggota kumpulan itu melancarkan serangan sebagai membalas dendam atas kematian ketua mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 7:31 AM