Nor Azmi menunjukkan pistol jenis Smith & Wesson yang ditemui di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Haji Dorani, pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam, petang tadi. FOTO Mohd Shukor Amin
Nor Azmi menunjukkan pistol jenis Smith & Wesson yang ditemui di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Haji Dorani, pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam, petang tadi. FOTO Mohd Shukor Amin
Mohd Shukor Amin

my

Sabak Bernam: Tukang kebun yang menebas di kebun kelapa sawit terkejut apabila menemui sepucuk pistol bersama 31 butir peluru tertimbus dalam tanah di pangkal sebatang pokok itu di Kampung Sungai Haji Dorani di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, lelaki berusia 45 tahun terbabit menjalankan kerja pembersihan tanah pokok kelapa sawit di kebun kakaknya sebelum menemui objek mirip pistol.

Menurutnya, lelaki berkenaan kemudiannya mengorek tanah itu lebih dalam dan menemui pistol itu bersama peluru.

"Penduduk yang menemui pistol ini membiarkan senjata itu sebelum menghubungi rakannya.

"Rakannya kemudian menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan senjata api terbabit," katanya.

Nor Azmi berkata, selepas menerima maklumat itu, beliau bersama beberapa pegawainya ke tempat kejadian.

"Sebanyak 26 butir peluru pistol berada dalam tanah manakala lima peluru lagi di dalam pistol itu.

"Pistol jenis Smith & Wesson dipercayai buatan Thailand ini sudah karat dan disaluti tanah ketika ditemui," katanya pada sidang media di pejabatnya petang tadi.

Nor Azmi berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan itu.

"Pistol ini akan dihantar ke Jabatan Forensik untuk siasatan lanjut sama ada pernah digunakan dalam sebarang kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 11:23 PM