NADYA hamil tiga bulan. - FOTO Arkib NSTP
NADYA hamil tiga bulan. - FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Nadya Syahera menafikan namanya digugurkan dari pementasan teater Dia Semanis Honey Muzikal yang sedang berlangsung di Istana Budaya, di sini, sejak Selasa lalu hingga 12 Januari ini.

Nadya berkata, dia hanya direhatkan dalam pementasan itu untuk beberapa hari kerana sedang hamil tiga bulan.

Katanya, dia hanya direhatkan selama tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu ini.

Dalam tempoh itu Nadya akan digantikan oleh bekas peserta Akademi Fantasia 2016, Afi.

“Saya tidak ambil hati dengan keputusan yang dibuat pihak produksi itu. Saya percaya mereka melakukannya kerana mengambil berat terhadap kesihatan saya selain tidak mahu mendatangkan risiko lain.

“Walaupun saya masih boleh menjayakan pementasan itu mengikut jadual ditetapkan, tetapi saya akur dengan kehendak mereka,” katanya.

Nadya berkata, peminat masih boleh menyaksikan penampilannya pada pementasan Ahad hingga Khamis depan.

“Sebenarnya ramai yang tidak tahu saya mengandung. Bagi yang tahu mereka bimbang melihat aksi lakonan saya yang memerlukan banyak pergerakan.

“Bagi memastikan keadaan saya selamat, produksi memutuskan saya untuk kembali beraksi pada penghujung hari pementasan,” katanya yang dijangka bersalin pada Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 5:51 PM