SPAN baji
SPAN baji
PUTIK kapas
PUTIK kapas
Nor Faizah Mohamed


Sejujurnya, berapa ramaikah dalam kalangan kita menggunakan berus untuk semua rutin solekan? Mungkin satu atau dua berus saja yang digunakan dan sebaliknya kita lebih banyak menggunakan jari kerana ia mudah, pantas dan tidak memerlukan kos tinggi.

Rata-rata hanya menggunakan berus untuk meratakan bedak asas serta pemerah pipi dan selebihnya ramai gemar menggunakan jari untuk menyudahkan solekan.

Selain harga berus solekan yang mahal, status halal iaitu penggunaan bulu berus yang diragui membuatkan ramai wanita khususnya kalangan Muslimah enggan menggunakannya.

Biarpun tidak menggunakan berus, masih ada beberapa peralatan di meja solek yang boleh digunakan sebagai gantinya.

Tidak salah menggunakan jari tetapi dengan adanya alat bantuan, ia membuatkan solekan lebih menarik dan berdimensi.

1. Span baji

Span kembung berbentuk segi tiga ini bukan saja sesuai untuk meratakan bedak asas dan penyamar cela malah boleh digunakan bagi mengadun pembayang mata.

Ia salah satu alatan solekan pelbagai fungsi dan boleh didapati pada harga berpatutan. Span baji ini boleh digunakan sama ada secara kering atau dibasahkan sedikit dengan air mahupun esen agar solekan tahan lama.

Tidak ketinggalan span ini membantu menghasilkan riasan mata kucing dengan lentikan hujung yang tepat dan bucunya boleh digunakan bagi membersihkan kesan comot pada hujung kelopak mata.

2. Kertas tisu

Jika tiada bedak debu untuk digunakan sebagai langkah akhir dalam solekan, kertas tisu jenis lembut juga mempunyai fungsi yang hampir sama.

Bahagi dua tisu itu dan setiap satu bahagian digunakan dengan cara menekap perlahan pada muka yang siap dirias.

Serat pada tisu itu juga boleh digunakan untuk menyerap minyak terutama pada zon-T iaitu di hidung dan dahi.

Kertas tisu juga boleh diletakkan di bawah mata ketika melakukan solekan smokey bagi mengelakkan kesan comot.

3. Putik kapas

Majoriti pakar profesional mengesyorkan penggunaan putik kapas untuk memperbaiki kesilapan ketika bersolek antaranya kesan comot maskara, penggaris mata dan gincu yang terkeluar daripada garisan bibir.

Putik kapas juga boleh digunakan bagi menggantikan berus gincu, di mana basahkan sedikit di bahagian hujungnya sebelum dioles pada gincu.

Dengan cara ini, serat putik kapas itu tidak melekat pada bibir.

4. Pad kapas

Pad kapas lazimnya digunakan ketika menyegarkan wajah dan menanggalkan solekan. Pad kapas ini bagaimanapun boleh digunakan sebagai gantian kepada berus pemerah pipi.

Caranya, pedapkan pad kapas kecil pada pemerah pipi dan sapu perlahan di tulang pipi.

Ia juga berfungsi sebagai pad untuk bedak padat.

Cuma perlu diingatkan bahawa pad kapas ini nipis dan perlu disapu beberapa kali pada wajah untuk mendapatkan hasil yang diingini.

5. Berus gigi

Berus gigi yang bersih dan belum digunakan sesuai untuk merapikan kening. Caranya, selepas merias kening dengan pensel atau krayon, rapikannya secara lembut dan mengikut arah akar bulu kening.

Berus gigi tidak ketinggalan berupaya menanggalkan kulit kering dan kesan gincu keras pada bibir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 11:54 AM