KUALA LUMPUR 23 NOVEMBER 2018. Jurusolek Artis , Norazatul Itri Ahmad Suhaimi (kanan) bersama model, Nu'r Syuhada Harun. NSTP/ AKMA BAKAR
KUALA LUMPUR 23 NOVEMBER 2018. Jurusolek Artis , Norazatul Itri Ahmad Suhaimi (kanan) bersama model, Nu'r Syuhada Harun. NSTP/ AKMA BAKAR
HATI

PEMBAYANG mata rona biru, gincu merah tua, bulu mata sarat bak ratu sehari. Jelas keterlaluan andai gaya solekan sebegini dikenakan ketika waktu pejabat. Ia mungkin nampak menawan jika kena pada majlis dan acara, tetapi melampaui batas penampilan seorang wanita korporat.

Begitupun, agak menghairankan apabila ada juga yang selesa dengan gaya solekan berlebihan. Mereka percaya kepuasan untuk melaram dengan wang sendiri lebih penting berbanding imej dalam dunia korporat.

Menurut juru solek, Norazatul-Itri Ahmad Suhaimi, pemilihan warna dan gaya solekan memainkan peranan dalam menyerlahkan penampilan seseorang, terutama wanita korporat.

“Selain menata rias wajah pelanggan, saya juga menyandang tugas sebagai kontraktor awam. Jadi, saya cukup faham bagaimana rutin wanita korporat yang sentiasa sibuk dengan tugas harian di dalam atau di luar pejabat serta ketika menghadiri majlis rasmi.

“Sebagai wanita bekerjaya yang membawa imej syarikat, tentu mereka inginkan penampilan menarik, disenangi dan tampak mesra. Sebab itulah pentingnya memilih solekan yang sesuai.

“Tidak perlu bulu mata palsu atau pembayang wajah. Memadai dengan pilihan warna semula jadi supaya solekan nampak sederhana, kemas dan sesuai dengan imej wanita korporat serta apa saja majlis rasmi yang mungkin perlu dihadiri,” katanya.

Memulakan langkah solekan, Norazatul-Itri berkata, lazimnya ‘wajah korporat’ tidak memerlukan masa yang panjang untuk disolek, sesuai dengan keadaan kebanyakan wanita yang terpaksa bergegas untuk bersiap setiap pagi.

“Pemakaian pelembap adalah wajib sebelum bersolek. Gunakan jenis krim atau semburan untuk memastikan wajah terhidrat, mekap nampak cantik dan lebih tahan lama.

“Gunakan sekali pelindung matahari untuk memelihara kulit daripada sinar ultra lembayung. Selepas pelembap wajah diratakan, sapu bedak asas rona sekata dengan tona kulit. Gunakan berus atau span untuk memastikan hasil sempurna.

“Memandangkan ada banyak bedak asas di pasaran, saya cadangkan supaya memilih jenis kemasan pusam. Ia akan menampakkan wajah lebih kemas, sekali gus menonjolkan aura wanita korporat. Kemudian, oles bedak tabur untuk ‘mengunci’ solekan asas,” katanya.

Untuk bahagian mata pula, Norazatul-Itri sengaja memilih rona tanah seperti perang kemerahan dan coklat muda sebagai asas. Kedua warna ini dicampur sebelum rona coklat tua ditambah bagi membentuk soket mata.

“Kening pula dibentuk sekadar perlu menggunakan pensil mata dan dikemaskan dengan berus. Usah bentukkan kening sehingga nampak terlalu tajam dan sempurna kerana ia mungkin boleh mencacatkan keseluruhan solekan.

“Bagi wanita yang memiliki bulu mata jarang, pertimbangkan penggunaan bulu mata palsu dengan kemasan paling halus dan nampak semula jadi. Cuma, bagi saya, bulu mata palsu tidak perlu. Oleaskan saja maskara secara berulang untuk menyerlahkan bulu mata.

“Usai bahagian mata, serlahkan seri wajah dengan sapuan nipis pembayang di bahagian bawah tulang pipi dan sisi hidung. Pilih pemerah pipi rona perang kemerahan dan lengkapkan solekan dengan sapuan gincu warna merah bata,” katanya.

Selain ke pejabat, Norazatul-Itri berkata, solekan wajah korporat juga mudah diubah suai mengikut pelbagai keperluan. Hanya tambahkan pemerah pipi dan sedikit kemasan kilat pada bahagian mata, ia sesuai untuk majlis bernikah.

“Solekan dengan warna asas selalunya nampak manis, sopan dan semula jadi. Sebab itulah ia mudah diubahsuai mengikut keperluan,” katanya.

LANGKAH SOLEKAN:

1. SAPUKAN bedak asas rona sekata kulit dan ratakan bedak tabur.

2. BENTUKKAN kelopak mata dengan pembayang rona tanah.

3. SEMPURNAKAN alis mata menggunakan pensil dan berus.

4. OLESKAN maskara.

5. SERLAHKAN bentuk wajah dengan sapuan nipis pembayang dan pemerah pipi.

6. PILIH pewarna bibir rona merah bata.

7. SEBELUM disolek.

8. WAJAH korporat untuk wanita ke pejabat.

SUBANG JAYA 26 JUNE 2018. Official launch GrabPay Credits at Industrial Estate, Subang Jaya. NSTP/Amirudin Sahib.
SUBANG JAYA 26 JUNE 2018. Official launch GrabPay Credits at Industrial Estate, Subang Jaya. NSTP/Amirudin Sahib.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 7:30 AM