Dr Abdul Latiff (kanan) memperkemaskan pakaian tradisional Melayu Mohd Faiz. FOTO BERNAMA
Dr Abdul Latiff (kanan) memperkemaskan pakaian tradisional Melayu Mohd Faiz. FOTO BERNAMA
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Pemain tengah Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri menerima satu set persalinan bernilai RM3,000 oleh Institut Seni Malaysia Melaka (ISSMA) di Bayan Baru, hari ini.

Majlis penyerahan set persalinan berupa songket rasmi negeri Melaka bersama tengkolok disampaikan oleh Pengerusi ISSMA, Tan Sri Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yusoff Latif dan Pengurus skuad bola sepak Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

Abdul Latiff berkata, hadiah istimewa itu diberikan sebagai tanda sokongan dan dorongan kepada Mohd Faiz yang mengimpikan untuk memakai pakaian Melayu ketika tampil di Anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich, Switzerland 9 Januari nanti.

"Saya bangga dengan semangat jati diri yang ada dalam diri anak muda ini selain mengharapkan kejayaan akan menjadi miliknya dan Malaysia.

"Hadiah ini sebagai galakan dan sokongan kepada pemain bolasepak negara yang lain untuk mempamerkan aksi cemerlang yang sama seperti dilakukan Mohd Faiz," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 7:34 PM