Faiz bersama bapanya, Subri Kader (tiga dari kiri) dan maskot ‘Abang Burung’ yang terkenal selaku ikon Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO STR ZULAIKHA ZAINUZMAN
Faiz bersama bapanya, Subri Kader (tiga dari kiri) dan maskot ‘Abang Burung’ yang terkenal selaku ikon Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO STR ZULAIKHA ZAINUZMAN
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi insentif bernilai RM50,000 kepada pemain tengah Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri selepas kejayaan memenangi Anugerah Puskas 2016.

Pengumuman itu diumumkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sejurus ketibaan Mohd Faiz dalam satu sidang media khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) jam 9.15 malam tadi.

Terdahulu pada Mac tahun lalu, kerajaan negeri turut menyampaikan insentif bernilai RM10,000 kepada Mohd Faiz di atas kejayaan menjaringkan gol ajaib.

Mohd Faiz berkata, dirinya melahirkan rasa amat berbangga dengan pengiktirafan yang diberikan kerajaan negeri selepas memenangi Anugerah Puskas 2016.

"Pihaknya amat berterima kasih kepada semua penyokong yang hadir termasuk pihak pengurusan FAP serta ahli keluarga yang hadir selain memberi sokongan moral dari awal hingga akhir.

"Saya akan kembali menjalani latihan esok pagi selain memberi tumpuan 100 peratus kepada pasukan Pulau Pinang bagi persiapan Liga Super 2017.

"Biarpun selepas ini pelbagai acara untuk meraikan kemenangan akan dilakukan tetapi keutamaan akan diberikan kepada latihan bersama rakan-rakan pasukan," katanya.

Sementara itu, Lebih 1,000 peminat membanjiri Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) seawal jam 7 malam lagi bagi menyambut kepulangan Mohd Faiz.

Ketibaan disambut dengan lagu Negeri Kita sambil namanya disorak berkali-kali sambil diiringi dengan tepukan gemuruh.

Turut hadir adalah bapa Mohd Faiz, Subri Kader, 64 dan ibu, Saadiah Ishak, 55, termasuk ahli keluarga termasuk keluarga mertua.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff dan Pengurus FAP, Zairil Khir Johari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 11:21 PM