KEADAAN banjir di Kampung Nibong , Hulu Terengganu, semalam. FOTO Imran Makhzan
KEADAAN banjir di Kampung Nibong , Hulu Terengganu, semalam. FOTO Imran Makhzan
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 607 mangsa daripada 163 keluarga sehingga 9 pagi ini berbanding 344 mangsa daripada 101 keluarga, 12 tengah malam tadi.

Semua mangsa ditempatkan di tujuh pusat pemindahan di Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Marang.

Menurut etindakan.terengganu.gov.my, Daerah Besut mencatatkan jumlah mangsa tertinggi sengan 284 mangsa daripada 63 keluarga berbanding 64 mangsa daripada 15 keluarga pada jam 12 tengah malam tadi.

Dua pusat pemindahan di Besut iaitu Masjid Kampung La dan Dewan Serbaguna Kampung Keruak dibuka semula 7.30 malam tadi akibat hujan lebat sejak pagi semalam.

Di Hulu Terengganu, terdapat 207 mangsa daripada 71 keluarga di dua pusat pemindahan berbanding 155 mangsa (55 keluarga).

Jumlah mangsa kekal di Marang dengan 10 keluarga membabitkan 30 mangsa di satu pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih.

Selain itu, jumlah mangsa banjir di Dungun menunjukkan sedikit penurunan kepada 86 mangsa daripada 19 keluarga di SK Durian Mentangau dan Dewan Sivik Paka berbanding 95 mangsa (21 keluarga).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 10:36 AM