Banjir di Kampung Jerubun, Hulu Besut dan laluan ditutup kepada semua kenderaan. FOTO Rozainah Zakaria
Banjir di Kampung Jerubun, Hulu Besut dan laluan ditutup kepada semua kenderaan. FOTO Rozainah Zakaria
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 1,879 mangsa daripada 509 keluarga berbanding hanya 607 mangsa daripada 163 keluarga pada jam 9 pagi.

Sehingga jam 1 petang, semua mangsa ditempatkan di 27 pusat pemindahan berbanding tujuh pusat pemindahan di Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Setiu dan Marang.

Menurut kenyataan banjir menerusi laman sesawang etindakan.terengganu.gov.my, jumlah mangsa di daerah Besut terus meningkat kepada 774 orang daripada 204 mangsa berbanding hanya 284 mangsa daripada 63 keluarga.

Semua mangsa ditempatkan di 12 pusat pemindahan berbanding dua pusat pemindahan sebelum ini.

Selain itu, pusat pemindahan di Setiu yang ditutup semalam dibuka semula hari ini bagi menempatkan 599 mangsa daripada 167 keluarga di tujuh pusat pemindahan.

Di Hulu Terengganu, jumlah mangsa turut meningkat kepada 392 mangsa daripada 110 keluarga di empat pusat pemindahan berbanding hanya 207 mangsa daripada 71 keluarga di dua pusat pemindahan.

Jumlah mangsa kekal di Marang dengan 10 keluarga membabitkan 30 mangsa di satu pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih.

Selain itu, jumlah mangsa banjir di Dungun menunjukkan sedikit penurunan kepada 84 mangsa daripada 18 keluarga berbanding 86 mangsa daripada 19 keluarga di SK Durian Mentangau dan Dewan Sivik Paka.

Ketika ini, beberapa kawasan di Terengganu termasuk bandar Kuala Terengganu hujan sejak malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 2:36 PM