Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) terus komited membina rumah mampu milik untuk rakyat seperti sasaran kerajaan untuk menyediakan satu juta unit rumah berkenaan menjelang 2018.

Dalam tempoh 2015 hingga 2018, SPNB berhasrat untuk membangunkan 20,000 unit Rumah Aspirasi Rakyat, 12,000 unit Rumah Mesra Rakyat dan 5,000 unit Rumah Idaman Rakyat.

Presiden SPNB, Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata, komitmen untuk menyediakan rumah mampu milik pada harga jualan lebih rendah daripada harga pasaran semasa tidak menjadi kekangan, tetapi situasi ekonomi yang tidak boleh dijangka ketika ini memberi cabaran.

Beliau berkata, situasi harga minyak yang menguncup sejak akhir-akhir ini boleh memberi kesan kepada prestasi jualan kediaman pada tahun depan kerana ia boleh memberi kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mengakibatkan keadaan inflasi yang sukar diramal.

“Sekiranya berlaku keadaan inflasi yang meningkat pada tahun depan, berkemungkinan pembiayaan perumahan akan diperketatkan syaratnya dan mengakibatkan orang ramai sukar untuk membelinya.

“Namun, kita yakin kerajaan pasti mempunyai formula berdepan dengan situasi ini kerana kediaman adalah keperluan kepada rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 9:37 PM