KLIP rakaman video seorang bapa menendang dada anaknya di pusat membeli-belah. FOTO Asiawire
KLIP rakaman video seorang bapa menendang dada anaknya di pusat membeli-belah. FOTO Asiawire
Agensi

TAIPEI: Seorang bapa dirakam menendang dada anak lelakinya yang masih kecil sehingga kanak-kanak itu jatuh terduduk di pusat beli-belah TS Mall di bandar Tainan, barat daya Taiwan.

Rakaman turut menunjukkan lelaki terbabit menyambar dan mengancam mahu mencampak anaknya itu ke balkoni namun niatnya itu berjaya dipatahkan apabila seorang pengunjung lain masuk campur.

Menurut Mirror Online, pelanggan pusat beli-belah itu mula merakam bapa berkenaan selepas dilihat memukul seorang daripada dua anaknya.

Ketika lelaki itu bersandar pada pagar kaca, seorang anak lelaki yang dilaporkan tidak patuh pada arahannya, cuba menghampiri namun tiba-tiba bapanya menendang dada kanak-kanak itu, menyebabkan dia terjatuh terduduk atas lantai jubin.

Kemuncak kejadian apabila tangisan kanak-kanak lelaki itu menyebabkan bapanya naik angin, lalu menyambar dan mengugut mahu mencampak anaknya ke balkoni.

Pegawai dengan Presint Pertama Biro Polis Kota Tainan, Jhuo Hsin-yu mengesahkan pihaknya sedang meneliti kes itu sebagai penderaan kanak-kanak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 4:52 PM