Langkawi: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang hilang dari rumahnya di Kampung Bendang Baru, Mukim Kuah, di sini, sejak Selasa lalu ditemui selamat, kelmarin.

Mangsa, Nur Farizul Afiq Nor Izal ditemui bapa saudaranya, Mohd Azrol Azmin Mohd Arshad, 25, di pusat beli-belah Langkawi Fair, di sini, merayau bersama rakannya pada jam 4.30 petang.

Ibunya, Nor Idayu Mohd Arshad, 28, berkata, dia menerima panggilan pada jam 5 petang oleh adiknya, Mohd Azrol yang memberitahu sudah menghantar anaknya ke Balai Polis Kuah.

“Saya ke balai polis untuk membawanya pulang. Saya bersyukur dia ditemui selamat selepas hilang sejak empat hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Menurutnya, dia menyedari kehilangan anak jam 8.30 malam Selasa lalu, ketika menggoreng telur untuk hidangan makan malam.

“Kami sekeluarga dengan bantuan jiran dan rakan-rakannya mencari Farizul di sekitar kampung dan tempat biasa dikunjunginya,” katanya.

Nor Idayu berkata, dia membuat laporan polis selepas gagal menemui anaknya.

Sementara itu, Nur Farizul Afiq pula berkata, sepanjang kehilangannya dia menemani rakannya dikenali sebagai Talib kerana rakannya tidak berani pulang ke rumah.

“Saya dan Talib tidur di surau Kompleks Pekan Rabu (KPR) Kuah dan makan minum diberi kakak angkat kawan saya.

“Saya hanya mahu temankan kawan yang tak berani pulang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Langkawi Asisten Superintendan Bee Anak Amba mengesahkan kanak-kanak terbabit yang dilaporkan hilang ditemui selamat.

“Siasatan polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Langkawi untuk pemeriksaan sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:15 AM