SUASANA mendamaikan di spa.
SUASANA mendamaikan di spa.
PRODUK keluaran spa bagi membantu menaikkan aura posititf.
PRODUK keluaran spa bagi membantu menaikkan aura posititf.
RAWATAN tungku batu sungai herba sesuai untuk individu yang ingin membuang angin dan memecahkan lemak dalam badan.
RAWATAN tungku batu sungai herba sesuai untuk individu yang ingin membuang angin dan memecahkan lemak dalam badan.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Angin dalam badan boleh berpunca daripada pengambilan makanan yang berunsur sejuk seperti sayur kubis, timun, kacang bendi dan pelbagai jenis ubi selain gemar menikmati minuman berais.

Ia boleh menyebabkan perut senak atau kembung, kerap sendawa dan badan rasa berbisa hingga membuatkan kita berasa tidak selesa, letih dan ada kalanya boleh menyebabkan sakit kepala.

Pemilik Spa Mawar Putih, Ruzita Jamaludin berkata, angin yang banyak di dalam badan boleh dipecahkan melalui teknik urutan menggunakan batu sungai.

“Ia dipanggil rawatan tungku batu sungai herba. Menerusi rawatan ini, kami menggunakan batu sungai yang dipanaskan selama satu jam menggunakan api kecil.

“Kemudian, batu tadi dibalut dengan daun herba seperti mengkudu, daun kaduk, lemuni dan pandan. Daun lemuni ialah bahan utama yang membantu memecahkan angin dalam badan.

“Selepas itu, barulah ia dibalut dengan kain batik lepas dan dibentuk seperti tungku sebelum digunakan untuk mengurut bahagian badan yang mempunyai lemak atau angin,” katanya.

Ujarnya, teknik urutan susur urat menggunakan batu sungai ini mempunyai kaedah tertentu yang bermanfaat untuk membantu membuang angin atau memecahkan lemak.

Terdapat dua rawatan yang boleh dipilih dalam pakej ini sama ada dua atau tiga jam. Untuk pakej dua jam, pengunjung berpeluang merasai urutan dan bertungku dengan tambahan rawatan sauna secara percuma.

Bagi yang mahukan rawatan bertangas, mandian herba dan urutan, bolehlah memilih pakej tiga jam. Rawatan ini sesuai dilakukan oleh semua wanita sama ada yang sudah mendirikan rumah tangga ataupun masih bujang.

Pakej rawatan ini bukan saja dapat membuang angin dalam badan, malah membantu mengembalikan bentuk badan langsing untuk kekal menarik.

Sebaiknya, elakkan menikmati hidangan berat sebelum melakukan rawatan ini sekurang-kurangnya dua jam agar tidak muntah.

Bukan hanya individu yang mempunyai masalah angin saja, malah rawatan ini juga membantu mengatasi masalah haid yang tidak teratur disebabkan ketidakseimbangan hormon dalam badan di samping melancarkan darah.

Bagi mendapatkan kesan diinginkan, rawatan berkenaan perlu dilakukan tiga kali seminggu. Selain itu, ada juga rawatan lain yang bermula dari bahagian rambut hingga ke kaki yang boleh dicuba.

Spa yang terletak di Bandar Bukit Puchong, Puchong ini juga ada menawarkan pelbagai pakej menarik seperti bajet, ibu hamil dan menaikkan seri aura pengantin.

Pada masa sama, spa berkenaan turut membuka kelas untuk individu yang berminat terutama jika ada yang mahu membuka spa bergerak.

Jika mahu mendapatkan rawatan di sini, sebaiknya buat tempahan seminggu awal bagi mengelakkan pelanggan menunggu lama untuk mendapatkan rawatan yang diinginkan.

Selain menawarkan rawatan kecantikan badan, spa ini mengeluarkan produk sendiri iaitu minyak pati bunga dan garam Aura Kirana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 12:53 PM