ANGGOTA bomba menemui jasad Suhaimi.
ANGGOTA bomba menemui jasad Suhaimi.
Oleh Rizanizam Abdul Hamid


Chukai: Jasad suami kepada arwah Norhayati Sulung yang hanyut dan lemas dalam tragedi bot karam ditemui kira-kira 100 meter daripada Jambatan Geliga Sungai Kemaman, 12.10 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam, berkata jasad Suhami Awang, 37, ditemui bawah timbunan kayu Sungai Kemaman oleh pasukan mencari polis dan bomba Kemaman.

"Jasad dibawa ke Hospital Kemaman dan dikatakan akan dikebumi di Tanah Perkuburan Kampung Jabor, 3 petang ini," katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam, jasad Norhayati Sulung, 37, dijumpai di Sungai Kemaman, kira-kira 700 meter daripada tempat tragedi, kira-kira 4.30 petang semalam.

Che Suza dipetik berkata, jasad mangsa yang juga mangsa banjir yang keempat di Terengganu kemudian dibawa pasukan penyelamat ke hospital Kemaman.

Allahyarham Norhayati kemudian dibawa dan disembahyangkan di kediaman keluarganya di Kampung Geliga Che Akob, dekat Kemaman, sebelum dikebumikan di Jabor, 11.30 malam semalam.

Dalam kejadian Rabu lalu, suami isteri itu dihanyutkan arus deras selepas bot dinaiki mereka terbalik dalam kejadian di Kampung Geliga Che Akob, kira-kira 1 petang.

Pasangan berkenaan dilaporkan menaiki bot penyelamat bersama lima yang lain untuk ke pusat pemindahan sementara yang terletak berhampiran kampung itu sebelum bot terbabit terperangkap di tengah pusaran air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 3:07 PM