Rosli Ilham


Chukai: Lelaki yang dipercayai suspek utama dalam kejadian membakar seorang remaja lelaki sehingga melecur pada leher dan badan di Kampung Perasing Jaya, Jabor, Kemaman, di sini, direman selama lima hari.

Perintah tahanan reman ke atas penganggur itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Mahkamah Majistret Kemaman, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira 6 petang semalam di sebuah rumah di Perasing, Kemaman.

Menurutnya, hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati ia positif dadah jenis methamphetamine.

"Siasatan polis juga mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

"Selain suspek itu, polis turut menahan lima lagi individu berusia 18 hingga 25 tahun dipercayai terbabit dalam kejadian sama dan mereka direman selama enam hari bermula semalam," katanya.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, kesemua suspek dipercayai membakar remaja berusia 15 tahun terbabit kerana menuduh mangsa mencuri wang berjumlah RM100.

Remaja terbabit dipercayai disimbah minyak sebelum dinyalakan api menyebabkan mangsa melecur dari leher hingga ke bahagian depan dan belakang badan.

Difahamkan, mangsa yang tidak lagi bersekolah itu kini mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Salah seorang suspek yang dipercayai terlibat membakar seorang remaja (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Seksyen Kemaman untuk perintah tahanan reman. FOTO ROSLI ILHAM
Salah seorang suspek yang dipercayai terlibat membakar seorang remaja (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Seksyen Kemaman untuk perintah tahanan reman. FOTO ROSLI ILHAM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 4:05 PM