KEPELBAGAIAN pengangkutan awam beri lebih pilihan kepada pengguna.
KEPELBAGAIAN pengangkutan awam beri lebih pilihan kepada pengguna.
KEPELBAGAIAN pengangkutan awam beri lebih pilihan kepada pengguna.
KEPELBAGAIAN pengangkutan awam beri lebih pilihan kepada pengguna.
Redzuan Muharam


Dulu bas dan teksi menjadi medium pengangkutan bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Pengguna di ibu kota pula lebih bertuah kerana boleh menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang terdapat di kawasan tertentu.

Seiring perubahan masa, Uber serta Grabcar pula menjadi pilihan dan kini terdapat alternatif pengangkutan awam baru iaitu Fasa Pertama Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang yang beroperasi sejak 16 Disember lalu.

Namun, sejauh mana generasi kini cenderung menggunakan pengangkutan awam? Atau mereka lebih gemar memandu kenderaan sendiri walaupun perlu menghadapi kesesakan lalu lintas?

Bagi mengupas topik di atas, penulis menemu bual tiga remaja secara rawak dan ikuti pandangan mereka mengenai kepelbagaian pengangkutan awam pada masa kini.

Mohamed Ali Shafiee

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan UM

“Saya berasal dari Johor Bahru tetapi mula menyesuaikan diri menaiki pengangkutan awam seperti LRT sejak menetap di Kuala Lumpur tiga tahun lalu.

“Namun, saya lebih banyak menaiki Grabcar sejak kebelakangan ini tetapi tetap akan mencuba perkhidmatan MRT yang baru beroperasi itu.

“Bagi saya, kepelbagaian pengangkutan awam itu lebih baik malah menggalakkan pengguna menaikinya untuk mengurangkan kos serta mengelak kesesakan.”

Muhamad Iqmal Hisham Abd Hadi, 22

Penuntut Ijazah Kejuruteraan Awam UMP

“Pada pandangan saya, bagus juga ada banyak pengangkutan awam kerana memberi pilihan kepada pengguna memilih yang sesuai untuk ke destinasi tertentu.

“Jadi, warga ibu kota sepatutnya memanfaatkan kemudahan LRT dan MRT seperti rakyat di negara maju yang cenderung menaiki pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri.

“Malah, saya secara peribadi gemar menaiki kedua-dua pengangkutan awam itu walaupun Uber dan Grancar lebih menjadi pilihan ketika ini.”

Nur Hawa Abd Halim, 21

Penuntut Ijazah Kejuruteraan Sistem Elektrik UniMAP

“Kewujudan pengangkutan awam amat membantu rakyat kerana keupayaannya memendekkan waktu perjalanan seseorang.

“Malah, inisiatif kerajaan mewujudkan perkhidmatan MRT perlu diberi pujian tetapi aspek lain terutama mutu perkhidmatan perlu dititikberatkan dan diambil kira.

“Meskipun Uber atau Grabcar menjadi trend pengangkutan masa kini, penggunaan MRT lebih efektif pada pandangan saya kerana boleh mengurangkan kesesakan dan pada masa sama mengatasi masalah pencemaran.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 1:04 PM