PENUNTUT UMP menerima sumbangan wang zakat pada Majlis Program Indahnya Ramadan bersama Etiqa di UMP. FOTO Shahrinnahar Latib
PENUNTUT UMP menerima sumbangan wang zakat pada Majlis Program Indahnya Ramadan bersama Etiqa di UMP. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib


“SAYA mahu menggunakan duit zakat ini untuk membeli kelengkapan Aidilfitri tiga adik saya kerana tahun ini kami sekeluarga terpaksa beraya tanpa ayah,” luah penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP), Nurul Syamira Muhd Anuar, 21.

Penuntut tahun dua jurusan Farmaseutikal Fakulti Teknologi Kejuruteraan UMP itu antara penerima sumbangan zakat sebanyak RM300 daripada Etiqa di UMP kampus Gambang di Kuantan, baru-baru ini.

Menurut anak kedua dari empat beradik itu, dia mahu mendahulukan kelengkapan adik-adiknya supaya mereka tidak berasa kekurangan pada Aidilfitri pertama tanpa ayah.

“Selepas bapa (Mohd Anuar Ariffin, 49,) meninggal dunia Mac lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru, ibu tiri yang mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga dengan bekerja sebagai pekerja am di sebuah hospital swasta di sini.

“Malah, abang sulung saya (Iwan Andika, 26,) tidak mampu bekerja kerana menghidap penyakit buah pinggang kronik yang memerlukan dia menjalani rawatan dialisis setiap dua hari,” katanya ketika ditemui pada Majlis Program Indahnya Ramadan bersama Etiqa.

Nurul Syamira berkata, keadaan itu menyebabkan adik-adiknya yang berusia antara dua hingga 15 tahun tidak mampu membeli baju raya kerana pendapatan ibu tiri yang tidak seberapa.

“Jadi, saya ambil keputusan untuk membeli baju raya untuk mereka kerana mahu menggembirakan adik-adik, mereka masih kecil dan lebih teruja untuk menyambut Aidilfitri.

“Jika masih ada lebihan wang selepas membeli baju raya, saya akan serahkan pada ibu untuk perbelanjaan rumah,” katanya yang berasal dari Balok.

Sementara itu, seorang lagi penerima zakat, Basri Abdul, 23, berkata, dia bercadang menggunakan wang berkenaan untuk membayar kos mencetak tesisnya, selain membeli tiket kapal terbang untuk ke pulang menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur.

Penuntut Fakulti Kejuruteraan Awam itu berkata, sumbangan diterima amat bermakna baginya kerana dapat menampung perbelanjaan dan meringankan beban mereka.

“Alhamdulillah memang saya amat memerlukannya bagi menyiapkan tesis.

“Terima kasih kepada Etiqa kerana memberi zakat kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 11:45 AM