ANTARA keratan laporan MH370 yang disiarkan di Harian Metro.
ANTARA keratan laporan MH370 yang disiarkan di Harian Metro.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Laporan Kajian Prinsip Pertama MH370 yang dikeluarkan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), hari ini, boleh dijadikan panduan membantu mengenal pasti lokasi spesifik pesawat itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata walaupun laporan itu membentangkan analisis terperinci mengenai usaha mencari MH370, ia boleh dijadikan panduan kepada pasukan mencari untuk mengesan pesawat yang hilang pada Mac 2014.

"Kerajaan Australia, Malaysia dan Republik China ketika mesyuarat tiga hala, Julai lalu, bersetuju pertimbangan diberikan untuk menentukan langkah seterusnya yang boleh diambil sekiranya memperoleh maklumat baru yang boleh digunakan untuk mengenalpasti lokasi pesawat itu.

"Saya ingin menegaskan usaha mencari dan mengesan pesawat MH370 tidak pernah diketepikan. Setiap keputusan yang dibuat akan dan sentiasa berada dalam semangat kerjasama dalam kalangan tiga negara," katanya.

Malah, katanya, ingatan dan doa semua tetap bersama keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370.

MH370 hilang bersama 239 anak kapal dan penumpang, 8 Mac 2014.

Ketika itu, pesawat terbabit sedang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan dianggap terhempas di selatan Lautan India selepas menyimpang dari laluan asal.

Lima serpihan itu ditemui pencari bangkai kapal terbang, Blaine Gibson yang turut menemui beberapa serpihan lain pesawat terbabit di Sainte Luce, tenggara Madagascar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 1:41 PM