Festival Padi Kedah 2016 akan berlangsung di  Muzium Padi, Alor Setar, Kedah pada 23 hingga 25 Disember ini.
Festival Padi Kedah 2016 akan berlangsung di Muzium Padi, Alor Setar, Kedah pada 23 hingga 25 Disember ini.
HM Digital


Kuala Lumpur: Mungkin ramai yang tidak tahu atau lupa mengenai cara tanaman dan tuaian padi mahupun permainan sewaktu musim menanam dan menuai padi.

Untuk mengembalikan memori dan mempromosikan tradisi itu kepada orang luar, kerajaan negeri Kedah menganjurkan Festival Padi Kedah 2016 pada 23 hingga 25 Disember ini.

Festival ini antara lain sebagai satu daripada usaha memperkukuhkan identiti Kedah sebagai Negeri Jelapang Padi.

Exco Pelancongan Kedah Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, festival ini juga diharap mampu menarik pelancong ke Kedah.

"Festival ini bermatlamat untuk menjadi tarikan pelancongan ke negeri ini melalui perlaksanaaan aktiviti yang menarik.

"Ia berkonsepkan kehidupan tradisional petani sewaktu musim menanam padi dan selepas musim menuai melalui gaya hidup, budaya, permainan serta makanan masyarakat di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan.

Festival ini juga adalah satu daripada program utama dalam Discover Kedah 2016 dengan tema ‘Paddy-The Landscape of Kedah’, berlangsung di Muzium Padi, Alor Setar, Kedah.

Festival ini juga akan dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan sukan rakyat dan permainan tradisional yang menawarkan hadiah keseluruhan sehingga RM20,000.

Antara pertandingan yang akan diadakan adalah seperti Pertandingan Memancing Ikan menggunakan buluh, Serkap Ikan, Sepak Raga Tuju, Tarik Tali Dalam Sawah, Tarik upih dan pertandingan Kukur kelapa.

Penganjur menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung sepanjang festival tiga hari ini berlangsung nanti yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan, badan korporat dan persatuan industri padi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 9:25 PM