PENGALAMAN menyeronokkan berlakon sama dalam Isteri Tuan Ihsan.
PENGALAMAN menyeronokkan berlakon sama dalam Isteri Tuan Ihsan.
Nor Akmar Samudin


Lakonan Amyra Rosli sebagai Seroja Irdina dalam drama bersiri Isteri Tuan Ihsan yang kini ditayangkan di Astro Ria dan Ria HD menggandingkannya buat kali pertama dengan bintang popular Aaron Aziz.

Walaupun itu pertemuan pertama mereka di depan lensa kamera, namun Amyra tidak kekok berganding dengan Aaron yang melakonkan watak Tuan Ihsan.

“Seronok berlakon dengan Aaron kerana dia sangat profesional dan senang bekerja dengannya. Saya suka cara Aaron yang merendah diri dan relaks,” katanya.

Drama bersiri 20 episod itu menjalani penggambaran selama lima bulan di Kuala Lumpur termasuk di Dubai selama seminggu.

“Berlakon dalam drama ini membolehkan saya menjejakkan kaki di Dubai. Penggambaran di lokasi mewah di sana sesuai dengan jalan cerita Isteri Tuan Ihsan yang mengisahkan usahawan yang sangat berjaya. Saya sangat bertuah dan seperti bermimpi,” katanya.

Pengggambaran yang mengambil masa panjang itu berlarutan sehingga seminggu sebelum Amyra melangsungkan pernikahan dengan Amar Baharin.

“Lagi seminggu nak menikah, saya masih di Dubai dan saya sentiasa termenung memikirkan persiapan di Malaysia. Namun, memegang peranan sebagai Seroja Irdina, saya mesti sentiasa bertenaga kerana watak itu memerlukan saya menjadi hiperaktif tak kira masa dan di mana saja berada.

“Jadi saya mesti mengawal perasaan agar tidak terlalu memikirkan perkara lain yang boleh menjejaskan lakonan saya. Bagaimanapun, saya seronok ‘menjadi’ Seroja Irdina kerana sifat riang gadis itu terbawa-bawa dalam diri saya dan membawa aura positif,” katanya.

Menyentuh kehidupan peribadinya yang baru sebulan lebih bergelar isteri, Amyra berkata, hidupnya sangat membahagiakan.

Sebaik saja mendirikan rumah tangga, dia dan Amar berpindah ke kediaman mereka sendiri.

“Jadual kerja masih seperti biasa. Syukur, Amar suami yang sangat memahami dan menyokong saya. Apabila saya tinggal di rumah sendiri, saya tidak rasa susah untuk menguruskan rumah tangga kerana saya sudah bersedia.

“Macam mana mama jaga saya dulu sewaktu saya tinggal bersama keluarga, macam itu jugalah saya menjaga Amar, menyediakan makan minumnya dan melakukan pekerjaan rumah tangga yang lain.

“Sehingga penghujung tahun ini, saya dan Amar masih bercuti. Projek baru akan bermula tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 5:00 AM