BERGER (kanan) bersama Smicer  pada majlis LFC World anjuran Standard Chartered semalam.
BERGER (kanan) bersama Smicer pada majlis LFC World anjuran Standard Chartered semalam.
Aziman Rosdi


Putrajaya: “Ia jaringan yang menakjubkan. Itu reaksi spontan legenda Liverpool Patrick Berger selepas menyaksikan video gol sepakan percuma yang dihasilkan finalis Anugerah Puskas 2016 Mohd Faiz Subri.

Menurut bekas pemain skuad Reds yang memenangi empat kejuaraan pada 2001 iaitu Piala FA, Piala Liga, Piala Uefa (Liga Europa) dan Piala Super itu, jaringan yang dihasilkan Faiz cukup hebat dan sukar dilakukan mana-mana pemain.

“Bagi saya ia satu gol yang hebat. Ia sepakan percuma yang menakjubkan. Saya tidak melihat dua lagi gol finalis (Anugerah Puskas 2016) jadi sukar untuk saya membuat perbandingan tapi mungkin jaringan ini ada peluang menang,” kata Berger selepas melihat jaringan Faiz menerusi Youtube.

Berger yang kini berusia 43 tahun ditemui pada majlis LFC World anjuran Standard Chartered semalam. Turut hadir, bekas bintang Liverpool Robbie Fowler, Vladimir Smicer dan Bruce Grobbelaar.

Sejarah bola sepak tanah air tercipta apabila jaringan menerusi sepakan percuma pemain Pulau Pinang Faiz, 29, ketika aksi Liga Super menentang Pahang 16 Februari lalu berada dalam senarai akhir Anugerah Puskas 2016 anjuran FIFA bersama dua lagi calon Marlone dari Brazil dan Daniuska Rodriguez (Venezuela).

Undian bagi pusingan akhir untuk memilih pemenang Anugerah Puskas 2016 sudah bermula dan keputusan bakal diumumkan pada 9 Januari depan di Zurich.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan Liverpool ketika ini, Berger yakin skuad kendalian Jurgen Klopp itu mampu memberikan saingan sengit dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

“Saya percaya sasaran Liverpool musim ini adalah menamatkan liga dalam kelompok empat terbaik namun bagi saya mereka juga mampu menjuarai EPL.

“Tiada sebab untuk Liverpool tidak boleh melakukannya cuma apa yang diharapkan agar pemain bebas daripada kecederaan serta tidak menghadapi penggantungan perlawanan,” katanya yang beraksi di Anfield dari 1996-2003.

Berger bagaimanapun berharap Klopp boleh memantapkan lagi pasukan dengan membawa masuk pemain baharu pada tempoh perpindahan pemain Januari depan biarpun beliau mengakui ia sesuatu yang sukar.

“Bukan mudah untuk mendapatkan pemain pada tempoh itu tapi jika dapat membawa masuk seorang atau dua pemain khususnya di bahagian pertahanan, ia sesuatu yang bagus,” kata pemain tengah Republik Czech itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 5:53 AM