Daripada Aziman Rosdi di Zurich dan Switzerland


Bekas penyerang Manchester United Dwight Yorke percaya kejayaan Mohd Faiz Subri dicalonkan dalam senarai akhir anugerah Puskas 2016 membuktikan Asia dalam landasan terbaik untuk bersaing dengan pasukan lebih hebat di pentas antarabangsa.

Yorke,45, yang menghasilkan 52 gol dalam 96 penampilan bersama kelab gergasi Inggeris itu berkata, jika jaringan Faiz boleh mengatasi gol yang dihasilkan bintang dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi, ia sudah pasti jaringan yang cukup istimewa.

"Jika ia jaringan secantik gol Roberto Carlos (lagenda Brazil) ia pasti jaringan istimewa. Jika gol yang dihasilkan Faiz boleh mengatasi Messi dan Ronaldo, dia dalam kedudukan yang baik (untuk menang)," katanya ketika ditemui Arena Metro sebentar tadi.

Faiz Penyerang Pulau Pinang melakar sejarah tersendiri selepas jaringannya ketika menewaskan Pahang 3-0 dalam aksi Liga Super, 16 Februari tahun lalu menarik perhatian seluruh dunia apabila berada dalam senarai akhir tiga gol terbaik 2016 untuk merebut anugerah Puskas.

Sepakan percuma yang dikatakan melanggar 'hukum fizik' apabila melencong menerjah ke gawang dilihat mempunyai peluang untuk merangkul anugerah berkenaan meskipun dicabar pemain Brazil Marlone dan Daniuska Rodriguez (Venezuela).

Jaringan Faiz itu juga dikatakan hampir menyamai sepakan lencong Carlos pada 1997 ketika menentang Brazil.

Keputusan anugerah Puskas 2016 hanya akan diketahui pada majlis Anugerah Bolasepak FIFA 2016 yang akan berlangsung di TPC Switzerland AG jam 6.30 petang waktu tempatan (1.30 pagi waktu Malaysia).

Yorke yang membantu Red Devils memenangi tiga kejuaraan EPL dan satu gelaran Liga Juara-Juara mengakui pencapaian Faiz ini membuktikan bola sepak Asia semakin berkembang.

“Saya tahu peminat di Asia cukup ghairah dalam bola sepak dan Malaysia tidak terkecuali, dengan adanya pemain dari Malaysia dicalonkan bagi anugerah ini, ia membuktikan Asia memiliki pemain yang bagus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 12:12 AM