SHIHA teruja bekerjasama dengan De’Meises.
SHIHA teruja bekerjasama dengan De’Meises.
Najiy Jefri


Nama penyanyi Shiha Zikir di Indonesia semakin kukuh apabila dia kini dihujani tawaran demi tawaran persembahan di negara seberang itu sejak menyertai program realiti D’Academy Asia, tahun lalu.

Terbaru, bekas protege Allahyarham Datuk Sharifah Aini menerusi program realiti Mentor itu bekerjsama dengan kumpulan De’Meises.

Menariknya mengenai Shiha dan De’Meises ini, masing-masing mencipta nama di negara orang.

Jika Shiha semakin dikenali di Indonesia, begitu juga dengan De’Meises yang dianggotai lima anak muda iaitu Iman (penyanyi), Messi (gitar), Irwan (gitar), Neno (bass) dan Riza (dram) apabila lebih dikenali di negara ini.

Bagaimanapun, itu yang dikatakan rezeki ada di mana-mana saja. Jika bukan di tempat sendiri, barangkali rezeki kita di tempat orang.

Tahun lalu, De’Meises pernah bekerjasama dengan Ayda Jebat untuk pembikinan klip video lagu Biar Saja.

Strategi itu secara tidak langsung dilihat sebagai langkah untuk mengukuhkan lagi namanya di persada muzik tanah air.

Kali ini, sekali lagi De’Meises menggunakan strategi sama apabila tampil berduet dengan Shiha menerusi single terbaru berjudul Jangan Bilang Siapa-Siapa.

Barangkali, ini waktunya buat mereka menguatkan lagi pengaruh sedia ada di dua negara. Dengan pembabitan Shiha yang popular di Indonesia, secara tidak langsung menjadi jalan mudah bagi De’Meises terus menapak di negara sendiri.

Begitu juga buat Shiha di mana populariti De’Meises sedikit sebanyak membantu dirinya untuk mencipta nama di Malaysia.

Bagaimanapun, Shiha tidak merasakan mereka saling dipergunakan.

“Ini bukan bermaksud kami mempergunakan antara satu sama lain. Cuma, ia lebih kepada kerjasama. Kita sendiri maklum bahawa lagu-lagu De’Meises popular di sini. Jadi, dengan adanya pembabitan saya, secara tidak langsung dapat memperkenalkan lagi diri saya.

“Mereka pun bukan ‘gunakan’ saya. Saya tak berani nak cakap macam itu. Dengan kerjasama ini juga harapnya saya dapat terus menembusi pasaran Indonesia. Ini juga satu peluang yang saya kira cukup baik untuk membina nama di dua negara,” katanya.

Menurut Shiha, ketika ditawarkan untuk berduet, dia cukup gembira dan berasa berbesar hati apabila diberikan peluang bekerjasama dengan band Indonesia itu yang sudah mempunyai ramai peminat di sini.

“Saya mengenali mereka menerusi deretan lagu popular yang dibawakan,” katanya.

Bercakap mengenai single nukilan komposer Harry Tasman itu, Shiha berkata, lagu itu cukup istimewa selain ia adalah lagu duet pertama mereka.

“Ia mengisahkan kecurangan. Jangan salah faham kerana lagu ini bukan menggalakkan orang untuk berlaku curang. Ia mengandungi nasihat supaya kita terus setia dalam menjalinkan mana-mana perhubungan,” katanya.

Shiha berkata, lagu itu sudah diperkenalkan di Indonesia dua bulan lalu, cuma baru sekarang ia diperkenalkan di sini.

Menurut Shiha, setakat ini lagu berkenaan menerima maklum balas positif di sini.

Tolak dua tawaran berlakon sinetron

Shiha pernah menerima dua tawaran berlakon sinetron di Indonesia namun terpaksa ditolak kerana tarikh berkenaan sudah dipenuhi undangan nyanyian di Malaysia.

“Saya akui teruja apabila mendapat tawaran berlakon di sana. Bukan mudah untuk tembusi pasaran di Indonesia, tapi saya agak terkilan kerana terpaksa menolaknya. Apa boleh buat kerana jadual penggambarannya tak kena dengan jadual saya.

“Jadi lebih baik saya menolaknya daripada menyusahkan banyak pihak nanti,” katanya.

Bagaimanapun, Shiha berharap pada masa akan datang dia tidak akan melepaskan peluang menerima tawaran berlakon di sana dan cuba mengatur kembali jadual seninya.

“Siapa tak mahu jika diberi tawaran berlakon di Indonesia. Saya harap selepas ini tawaran yang diterima tidak mengejut dan saya boleh mengatur mengikut jadual seni saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 5:01 AM