TEROWONG cahaya mengujakan pengunjung Pesta Pulau Pinang.
TEROWONG cahaya mengujakan pengunjung Pesta Pulau Pinang.
GAMBAR sebahagian daripada pelakon yang mengambil bahagian dalam persembahan pentas di Pesta Pulau Pinang di Padang Kota Lama sekitar 1960-an.
GAMBAR sebahagian daripada pelakon yang mengambil bahagian dalam persembahan pentas di Pesta Pulau Pinang di Padang Kota Lama sekitar 1960-an.
BAHAGIAN yang menempatkan permainan kanak-kanak dan dewasa di Pesta Pulau Pinang.
BAHAGIAN yang menempatkan permainan kanak-kanak dan dewasa di Pesta Pulau Pinang.
TAMAN Mini antara lokasi tumpuan pengunjung bergambar di Pesta Pulau Pinang.
TAMAN Mini antara lokasi tumpuan pengunjung bergambar di Pesta Pulau Pinang.
Zuhainy Zulkiffli


Bermula di Padang Kota Lama dengan kawasannya hanya ditutup menggunakan papan dan berselut jika hujan pada 1966, siapa sangka Pesta Pulau Pinang mampu bertahan sehingga kini.

Lebih membanggakan, pesta yang kini menjangkau usia 50 tahun itu menjadi ikon pelancongan di Pulau Pinang kerana menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara terutama pada Disember setiap tahun.

Diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibong, ekspo perdagangan itu turut menjadi penutup tirai acara bagi kalendar pelancongan Pulau Pinang yang terkenal sebagai negeri tumpuan pelancong.

Sedikit kelainan pada tahun ini berikutan diadakan sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun dengan menampilkan konsep santai dan pencahayaan sebagai tarikan.

Tidak seperti tahun lalu, kawasan tapak pesta kini lebih meriah dengan ‘hujan’ lampu yang pastinya menyerlahkan suasana malam selain diwujudkan lebih banyak lokasi rehat dan tumpuan bagi swafoto (selfie).

Pelbagai acara dan persembahan pentas dirangka sepanjang sambutan bagi memeriahkan malam selain aktiviti melelong barangan jualan dengan harga rendah oleh pemilik gerai.

Pengurus Komunikasi Korporat Pesta Pulau Pinang, Abdul Rahim Abdullah berkata, konsep pencahayaan dipilih selepas melihat kejayaan penganjuran tahun lalu apabila pengunjung lebih tertumpu kepada bahagian yang mempunyai lampu hiasan berwarna-warni.

Beliau berkata, selain menyediakan bangku, terdapat beberapa lokasi turut diletakkan hamparan rumput tiruan sebagai kemudahan pengunjung terutama yang datang bersama keluarga berehat selepas penat berjalan di tapak pesta berkenaan.

“Sudah tentu pengunjung mahu merakamkan kenangan. Justeru, kami sediakan gambar beberapa mercu tanda Pulau Pinang bersaiz billboard bagi memudahkan mereka berswafoto.

“Pesta kali ini menarik 80,000 pengunjung dalam masa enam hari sejak dibuka pada 26 November lalu dan kami jangka ia akan mencatatkan 500,000 pengunjung apabila berakhir pada 31 Disember ini,” katanya.

Pesta Pulau Pinang di bawah pengurusan Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang dirasmikan pada 1 Disember lalu oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Menariknya, jualan tiket masuk ke tapak pesta masih kekal RM3 bagi dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak berusia enam hingga 13 tahun.

Antara acara berlangsung di tapak pesta ialah Pesta Muaythai, Pesta Tinju Antarabangsa dan Pesta Silat Antarabangsa selain Pesta Walk dan Pesta Karpet.

Pesta berkenaan beroperasi dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam serta mempunyai 160 gerai jualan.

Siapa sangka di sebalik raut wajahnya, tersimpan semua memori Pesta Pulau Pinang sejak ia diperkenalkan di negeri ini pada 1966 di Padang Kota Lama.

Pekerja di bahagian pembersihan tapak pesta terbabit, Shamas Fakir Abdullah, 69, berkata, pada awal kewujudannya, pesta terbabit hanya ditutup menggunakan papan manakala kawasan tapak pesta akan berselut selepas hujan.

Katanya, bayaran masuk dikenakan ketika itu 50 sen manakala acara hiburan lebih kepada persembahan pentas seperti nyanyian serta lakonan berunsurkan lawak jenaka dan nasihat.

“Pelbagai golongan datang ke temasya berkenaan, malah terdapat jualan makanan, tetapi gerai tidak banyak dan kebanyakan pengunjung yang datang hanya mahu melihat persembahan pentas.

“Antara artis pernah membuat persembahan ketika itu ialah P Ramlee dan Saloma, Aziz Satar, S Samsuddin, Kasma Booty dan Hamzah Dolmat termasuk penghibur tempatan,” katanya yang tinggal di Sungai Nibong.

Sehingga pada era 1970-an, katanya, pesta berkenaan berpindah ke Jalan Lima yang kini dikenali sebagai Jalan Macullum dan hanya bertahan dua tahun.

Kata Shamas Fakir, lokasi tapak pesta itu tidak strategik selain kurang tarikan menyebabkan ia tidak mampu bertahan lama walaupun bayaran masuk hanya RM1.

Menurutnya, pada masa sama, kerja meratakan tanah di tapak pesta di Sungai Nibong giat dijalankan dan siap dibuka kepada orang ramai beberapa tahun kemudian.

“Tapak pesta ini dahulu kawasan tanah paya dan turut dijadikan kolam menternak ikan menyebabkan tanah di situ tidak cukup keras pada awal pembukaannya.

“Majlis perasmian paling bersejarah ialah pada 1982 apabila Yang di-Pertua Negeri ketika itu, Tun Dr Awang Hassan dibawa menaiki helikopter ke tapak pesta bagi menyempurnakan perasmian,” katanya.

Selain itu, acara persembahan turut meninggalkan kenangan tersendiri kepada Shamas Fakir apabila menyaksikan deretan pagar tapak pesta yang runtuh gara-gara penonton berasak-asak mahu melihat nyanyian Anita Sarawak.

Katanya, boleh dikatakan sekitar 1980-an adalah tahun kegemilangan buat artis tanah air terutama bagi kugiran sebelum kedatangan muzik rock pada 1990-an seperti Fotograf, Ekamatra, Damasutra, Mega, Spring dan Slam.

“Seminggu sebelum pesta berakhir menjadi lebih meriah kerana terdapat lelongan jualan terutama pakaian dan bahagian dekorasi rumah seperti hiasan dinding dan permaidani.

“Pesta pada tahun ini paling meriah dan cantik berikutan konsep dan penggunaan lampu hiasan. Malangnya tiada sejarah mengenai pesta dibukukan atau disimpan pihak tertentu bagi tatapan generasi masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 6:49 AM