GOH Kah Lee (depan) dan Chun Yeap Guan diiringi anggota polis selepas didakwa. FOTO Farizul Hafiz Awang
GOH Kah Lee (depan) dan Chun Yeap Guan diiringi anggota polis selepas didakwa. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Pasangan kekasih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 45 butir peluru, dua minggu lalu.

Tertuduh, Chun Yeap Guan, 39, dan pasangannya, Goh Kah Lee, 40, mengaku tidak bersalah di hadapan hakim, Siti Aminah Ghazali selepas didakwa dengan niat bersama memiliki sepucuk pistol jenis Sig Sauer P239 pada 2.30 pagi, 1 Disember lalu di premis di Lorong Alor Akar 26 di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali.

Pasangan itu turut didakwa memiliki 45 butir peluru AP 15 9MM Luger tanpa lesen atau permit yang sah yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 iaitu penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar manakala kedua tertuduh diwakili peguam Bob Arumugam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 12:33 PM