GOH   (depan) dan Chun diiring anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen  Kuantan, semalam.
GOH (depan) dan Chun diiring anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.

Kuantan: Seorang penjual rokok dan kekasihnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam, atas tuduhan memiliki sepucuk pistol dan 45 butir peluru 1 Disember lalu.

Tertuduh Chun Yeap Guan, 39, dan pasangannya Goh Kah Lee, 40, masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Siti Aminah Ghazali selepas didakwa dengan niat bersama memiliki sepucuk pistol Sig Sauer P239 pada jam 2.30 pagi, 1 Disember lalu di premis di Lorong Alor Akar 26.

Jika sabit kesalahan pasangan berkenaan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali.

Mereka turut didakwa dengan tuduhan memiliki 45 butir peluru jenis AP 15 9MM luger tanpa lesen atau permit yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Untuk kesalahan itu kedua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar manakala pasangan itu diwakili peguam Bob Arumugam.

Bagaimanapun, Chun yang berasal dari Kulim, Kedah dan Goh di Bukit Mertajam, Pulau Pinang tidak ditawarkan jaminan oleh mahkamah.

Siti Aminah kemudian menetapkan 4 Januari depan sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 9:19 AM