PEMAIN kedua-dua pasukan bergambar kenangan selepas tamat perlawanan.
PEMAIN kedua-dua pasukan bergambar kenangan selepas tamat perlawanan.

Alor Setar: Pasukan Siong FC Baling terpaksa akur dengan kehebatan Perbadanan Stadium Negeri Kedah (PSNK) Alor Setar apabila tewas 0-3 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Darul Aman, baru-baru ini.

Siong FC yang disertai ramai pemain muda itu bagaimanapun tetap membawa pulang pengalaman berharga apabila PSNK disertai pemain senior yang lebih berpengalaman.

Gol PSNK dijaringkan Mohd Nazrin Puat (2) dan Azhari Adam.

Pengurus Siong FC Wan Mohd Fesol berkata, walaupun tewas pihaknya tetap berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan anak buahnya yang menggabungkan pemain muda dan senior.

Malah katanya, sebagai persiapan sebelum menyertai liga di daerah Baling itu, pihaknya memerlukan pendedahan lebih meluas bagi memperkemas teknik persembahan pasukan.

“Kami yakin daripada perlawanan ini, pemain dapat mengutip pengalaman berharga bagi membentuk sebuah pasukan lebih mantap nanti,” katanya.

Sementara itu, pengurus PSNK Ahmad Najeeb Othman berkata, perlawanan menentang Siong FC adalah sebagai tanda persahabatan demi mengeratkan perhubungan dengan pasukan dari daerah Baling itu.

“Kunjungan mereka ke sini adalah untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2016 @ 7:05 AM