Oleh Fardy Bungga


Cheras: Seorang kelindan lelaki warga India maut selepas lori yang dinaikinya terbalik dalam kejadian di Simpang Seksyen 5, Jalan Bentar, Bandar Mahkota Cheras pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, mangsa dan pemandu lori yang membawa muatan simen dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di pembahagi jalan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, ekoran daripada kejadian berkenaan, kedua mangsa tersepit di dalam kabin lori terbabit.

Menurutnya, anggota bomba terpaksa menggunakan alat pemotong hidraulik untuk mengeluarkan mayat mangsa dan pemandu lori yang terselamat.

"Mangsa seorang warganegara India yang dikenali sebagai Pawan Kumar. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,"katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 4:19 PM