Lokasi kejadian mayat wanita ditemui Apartmen Sri Penara, Bandar Permaisuri, petang tadi.
Lokasi kejadian mayat wanita ditemui Apartmen Sri Penara, Bandar Permaisuri, petang tadi.
Fardy Bungga


Cheras: Dua beradik berusia 22 dan 25 tahun yang juga penuntut universiti tempatan ditahan selepas polis menemui mayat ibu mereka dengan kesan lebam dan berlumuran darah di Apartmen Sri Penara, Bandar Permaisuri, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian 3 petang , polis yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada jiran mangsa terpaksa menghubungi bomba untuk memecahkan pintu rumah sebelum menemui mayat wanita berusia 63 tahun itu dalam keadaan terbaring di ruang tamu bersama kedua-dua suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, anggota paramedik yang tiba dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mengesahkan mangsa, Wan Yah Wan Mat meninggal dunia dengan kesan lebam dan pendarahan di muka serta kesan bengkak di belakang kepala.

"Mayat mangsa dihantar ke PPUKM untuk dibedah siasat dan kedua-dua suspek ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2015 @ 9:15 PM