BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang bapa tiri dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan anak tirinya berusia 13 tahun.

Lelaki berumur 33 tahun itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah, meraba kemaluan mangsa dengan niat hendak mencabul kehormatan di rumahnya di Sungai Besi, di sini, pada 6 pagi, 10 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau antara dua daripada hukuman itu.

Majistret Umzarul An Nur Umar turut memerintahkan tertuduh yang juga polis bantuan berpangkat Inspektor, menjalani kaunseling dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat selama enam bulan selepas dibebaskan dan mengarahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh tangkap pada 30 November lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yusha memohon hukuman pemenjaraan dan sebatan terhadap tertuduh dan dia wajar diasingkan daripada masyarakat.

“Mengambil kira faktor mangsa adalah anak tiri tertuduh yang sepatutnya dilindungi, sebaliknya tertuduh mencabul mangsa sehingga menyebabkan gangguan emosi dan merosakkan kehidupan mangsa," katanya.

Bapa enam anak itu yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengenakan hukuman berbentuk denda dengan alasan dia penanggung utama keluarga.

"Saya menanggung enam anak termasuk dua anak tiri, ibu bapa mentua juga dalam jagaan saya. Saya menyesal dengan perbuatan saya dan merayu denda yang rendah," katanya sambil menangis teresak-esak.

Isteri tertuduh turut menangis ketika mendengar rayuan suaminya.

Mengikut fakta kes, pada 28 November lalu, pengadu, seorang pegawai perubatan yang merawat mangsa membuat laporan polis selepas diberitahu mangsa didera secara seksual oleh bapa tirinya.

Menurut mangsa, dia dicabul bapa tirinya sejak tahun lalu, hingga 10 November (kejadian terakhir).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 5:00 PM