Zatul Iffah Zolkiply


PENJUAL nombor ekor dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini selepas didapati bersalah melakukan rompakan berkumpulan, dua tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas tertuduh Muhammad Rafi Arefin, 26, dari Kuala Lumpur didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan.

Lelaki itu didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersama-sama tiga lagi yang masih bebas dengan mengambil wang tunai RM2,000, sebuah tablet Samsung Galaxy Tab A, empat telefon bimbit Nokia, kad pengenalan, dua kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan lesen memandu milik Teng Kheong Hwee, 51.

Muhammad Rafi didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Gong Tengah, Merang, Setiu pada 2 pagi 3 Oktober 2016.

Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Asaari Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 8:16 PM
MUHAMMAD Rafi (tengah) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. FOTO/VIDEO Zatul Iffah Zolkiply
MUHAMMAD Rafi (tengah) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. FOTO/VIDEO Zatul Iffah Zolkiply