ANTARA rumah kebajikan yang sudah menerima bantuan daripada Kechara.
ANTARA rumah kebajikan yang sudah menerima bantuan daripada Kechara.
LI Kim (kiri sekali) beramah mesra bersama penduduk.
LI Kim (kiri sekali) beramah mesra bersama penduduk.
RISALAH pendidikan demam denggi turut diagihkan.
RISALAH pendidikan demam denggi turut diagihkan.
SARIMAH Ibrahim (tengah) antara sukarelawan turun padang mengagihkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.
SARIMAH Ibrahim (tengah) antara sukarelawan turun padang mengagihkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.
HENRY (kiri) dan May (kanan) membantu memasang kelambu di rumah kebajikan.
HENRY (kiri) dan May (kanan) membantu memasang kelambu di rumah kebajikan.
Faizatul Farlin Farush Khan


Ketidakupayaan golongan gelandangan melindungi diri mereka sendiri daripada ancaman gigitan nyamuk yang membawa pelbagai wabak penyakit terutama denggi, mendorong badan bukan kerajaan (NGO), Kechara Soup Kitchen (Kechara) turun padang menghulurkan bantuan melalui kempen terbarunya, ‘Bite No More’.

Bantuan berbentuk kelambu dan lingkaran ubat nyamuk itu mula diagihkan sejak 22 November lalu kepada golongan terbabit di sekitar Lembah Klang antaranya termasuk Kajang, Kepong, Petaling Jaya, Cheras, pusat bandar Kuala Lumpur dan Setapak.

Selain itu, sukarelawan Kechara turut mengagihkan risalah pendidikan kepada golongan daif dan kurang bernasib baik supaya mereka mudah mengenal pasti simptom denggi dan mendapatkan rawatan segera sebelum ia bertukar menjadi denggi berdarah dan mengancam nyawa.

Inisiatif yang dijalankan secara berterusan itu selain mendapat sokongan orang ramai, turut menerima tajaan daripada Yayasan Tsem Rinpoche yang menumpukan kepada kerja kebajikan dan pendidikan.

Menurut Presiden Kechara, Henry Ooi, antara permintaan yang sering mereka terima daripada golongan gelandangan adalah ubat nyamuk kerana biarpun ia tidak mahal, tetapi golongan itu masih tidak mampu membelinya.

Katanya, usaha itu adalah sebahagian kecil daripada tugas besar dalam menangani wabak denggi dan dia berharap ia akan mengubah minda masyarakat untuk sama-sama membantu dan bekerjasama menurunkan kadar jangkitan.

“Ini adalah tugas yang mempunyai tanggungjawab besar. Menghapuskan denggi sepenuhnya mungkin mustahil, tetapi kita cuba sedaya upaya menanam kesedaran kepada semua golongan masyarakat mengenai kepentingan memastikan kawasan sekeliling bebas daripada aedes.

“Biarpun kerajaan sudah menjalankan pelbagai kempen, tetapi masyarakat juga perlu memberi kerjasama dan terbabit menjaga kebersihan dengan membuang sampah secara betul untuk mengelak masalah air bertakung.

“Pemaju perumahan juga perlu peka dengan perkara ini. Kebiasaannya masalah denggi mencatat kes yang banyak di kawasan pesat membangun dan banyak kerja pembinaan kerana pekerja mereka makan dan buang sampah sesuka hati,” katanya.

Henry berkata demikian pada sidang media pelancaran kempen itu yang turut dihadiri Pengasas Bersama dan Pemegang Amanah Yayasan Tsem Rinpoche, Datuk May Phng, Pengarah Projek Kechara, Justin Cheah, penaja dari Yayasan Tsem Rinpoche, Datuk Colin Tan dan sukarelawan pasukan perubatan, Dr Valarmathy Vaiyavari serta sukarelawan kempen, hos televisyen, Phng Li Kim.

Kira-kira 2,000 set ubat nyamuk dan kelambu diagihkan dengan setiap set berharga RM50. Kechara turut menyeru orang ramai untuk memberi sumbangan sama ada dalam bentuk wang, tenaga kerja atau ubat nyamuk serta kelambu supaya ia dapat meneruskan misi membantu golongan gelandangan terbabit.

Henry berkata, sekira­nya bantuan yang diterimanya besar, kempen itu boleh diperluaskan hingga peringkat kebangsaan dan meliputi lebih banyak kawasan.

Dalam fasa pertama, mereka mengedarkan bantuan kepada golongan gelandangan, penghuni pusat perlindungan untuk keluarga miskin dan organisasi kebajikan sekitar Lembah Klang.

Antara yang menerima manfaat melalui kempen fasa pertama itu adalah Pusat Jagaan Al Fikrah, Kajang, Rumah Stepping Stones, Taman Seputeh, Metta Home and Sanctuary Care Center, Setapak serta keluarga kurang berkemampuan sekitar Desa Tun Razak, Kampung Bellamy dan Kampung Kerinchi.

“Jika pembiayaan mencukupi, kami merancang meluaskan bantuan hingga Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih dan PJ Caring Home, selain keluarga miskin di kawasan perumahan setinggan di Cheras, Lembah Pantai, Jalan Klang Lama, Setapak, Kepong dan Bentong,” katanya.

Sementara itu, Dr Valarmathy berkata, Pasukan Perubatan Kechara sentiasa membantu dengan membuat pemeriksaan dan menerangkan mengenai gejala kepada pesakit supaya mereka menyedarinya sebelum terlambat.

Katanya, sekiranya didapati golongan gelandangan menunjukkan simptom denggi, mereka akan dirujuk kepada klinik atau hospital supaya mendapat rawatan sewajarnya.

“Pendidikan sangat penting untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan golongan ini kerana demam denggi boleh merebak melalui gigitan nyamuk.

“Tahap kesedaran mengenai penyakit denggi selain penjagaan persekitaran rumah yang bebas daripada bekas bertakung air masih sangat rendah dalam kalangan golongan ini.

“Oleh itu, kita akan mainkan peranan dengan menanamkan kesedaran kepada mereka. Mereka tidak faham denggi adalah penyakit yang mudah merebak kerana selepas menggigit satu individu, ia boleh menggigit seorang lagi hingga kadang kala kita jumpa kes beberapa orang dalam satu keluarga yang menghidap denggi.

“Kita juga faham situasi mereka. Biasanya golongan ini sukar untuk ke klinik atau hospital kerana tidak ada duit dan ada ibu bapa yang terlalu sibuk mencari nafkah sehingga anak-anak terabai,” katanya.

Menurut Dr Valarmathy, setiap Sabtu, beberapa orang doktor dan sukarelawan akan menunggu di klinik bergerak di Medan Tuanku dari jam 9 pagi hingga 2 pagi untuk membuat pemeriksaan, merawat pesakit dan memberi khidmat nasihat perubatan.

Katanya, setiap kali klinik dibuka, ia dikunjungi 60 pesakit yang bukan saja datang untuk mendapatkan rawatan, tetapi makanan, baju serta potongan rambut secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 11:07 AM