Anggota pasukan penyelamat yang berusaha mengesan mangsa di bawah runtuhan sejak petang semalam. - ZULFADHLI ZULKIFLI
Anggota pasukan penyelamat yang berusaha mengesan mangsa di bawah runtuhan sejak petang semalam. - ZULFADHLI ZULKIFLI
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tapak lokasi runtuhan jambatan konkrit KL Eco City, Kampung Haji Abdullah Hukum, Bangsar, ditamatkan pada 10.25 pagi, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata, operasi menggunakan khidmat anjing pengesan K-9 sejak semalam hingga pagi ini tiada menunjukkan mangsa di bawah runtuhan.

Menurutnya, 39 anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) terbabit dalam operasi bermula jam 8.30 pagi ini.

"Selain itu, operasi turut dibantu agensi luar, termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Operasi selama lebih 15 jam itu juga tidak menemui mangsa yang dikatakan tertimbus di bawah runtuhan sejak petang semalam," katanya.

Katanya, sehubungan itu, operasi SAR diketuai Penguasa Kanan Bomba 1, Ruhisha Haris pagi ini ditamatkan dan semua bantuan agensi lain turut ditamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 11:43 AM